KUALA TERENGGANU – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
mempertahankan penyokong Bersih 3.0 dengan menafikan mereka sebagai penyebab
keganasan dalam demonstrasi Bersih 3.0 di Kuala Lumpur, 28 April lalu.
Beliau percaya kesemua mereka mengikut arahan dikeluarkan
pemimpin untuk memastikan demonstrasi berjalan lancar.
Abdul Hadi sebaliknya menyalahkan golongan tertentu dengan
mendakwa perbuatan terbabit dilakukan segelintir pihak yang diistilahkan
sebagai ‘pelakon’ dalam kalangan golongan pemerhati.
Beliau turut menolak sumber tertentu yang mendakwa mereka diupah
Pakatan Rakyat (PR) dan menjelaskan PR tidak mampu berbuat demikian.
“Pemerhati pula pelbagai kalangan dan saya dimaklumkan mereka
ada ‘pelakon’. Pelakon ikut sama dalam demonstrasi ini dan ada menyebut-menyebut
diupah. Mana kita ada nak upah orang, kita tiada duit, kita fakir miskin,
bagaimana parti bergantung kepada orang nak upah orang.
“Yang hadir itu beratus-ratus ribu dan itu bukan kemampuan
kitalah. Jadi pelakon inilah yang boleh menimbulkan perkara negatif,” katanya.
Beliau turut meminta perkara itu disiasat secara adil dan telus
untuk memastikan siapa dalang bertanggungjawab menimbulkan kekacauan ketika
demonstrasi tersebut.
Diminta mengulas mengenai dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim memberikan isyarat tangan kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali
supaya peserta membuat rempuhan bagi memasuki kawasan Dataran Merdeka, Abdul
Hadi meminta media memberi peluang kepada Anwar untuk membela diri.
Katanya, media perlu membuat liputan secara langsung dalam media
penyiaran dan bukan sidang akhbar biasa yang selalunya disunting terlebih
dahulu sebelum penyiaran.
“Biar dia keluar RTM, TV3. Biar beliau menjelaskannya. Wartawan
boleh soal dia, itu cara yang betul macam dilakukan negara lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment