Lelaki yang mencuri
wang tabung Masjid Hadhari di Jerteh kelmarin terbaring selepas dibelasah oleh
orang ramai.
BESUT – Seorang lelaki menyangka dia bijak
apabila menukar mangga tabung wang di Masjid Hadhari di Jerteh dekat sini untuk
memudahkannya mencuri duit daripada tabung itu. Lelaki itu bertindak demikian
selepas cubaan pertamanya untuk mencuri duit tabung itu tidak berhasil.
Bagaimanapun, taktik lelaki itu sekali lagi
tidak menjadi. Cubaan kali kedua lelaki berusia 32 tahun dari Kampung Siam,
Pasir Puteh, Kelantan itu untuk membuka tabung masjid itu dapat dihidu oleh
pengawal masjid yang kemudian mencekupnya ketika dia sedang mengumpil tabung
itu pada pukul 9.45 malam kelmarin.
Semasa diberkas, penganggur itu bertungkus-lumus
menggunakan besi pencungkil tayar kereta untuk membuka mangga tabung masjid itu
yang sebenarnya sudah ditukar kepada mangga lain oleh pihak masjid.
Setiausaha Masjid Hadhari Jerteh, Che Kar
Awang berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid itu mendapati dua
hari sebelum ditangkap suspek sama dilihat cuba mencuri wang di dalam tabung
itu tetapi pada waktu itu tabung tersebut kosong.
“Lelaki itu kemudian menukar mangga sebuah
tabung itu tetapi pihak masjid menukar semula mangga yang dipasang suspek bagi
mengelakkan suspek mencuri,” kata beliau ketika ditemui dekat sini semalam.
No comments:
Post a Comment