PETALING JAYA – Insiden kereta pegawai penyiasat polis
diterbalikkan di hadapan sebuah pusat membeli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman
pada Perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu bukan disengajakan.
Seorang aktivis, Saiful Mokhtar, 33, mengakui dia yang berada di
lokasi kejadian dapat mendengar dengan jelas beberapa orang mengarahkan kereta
polis itu diterbalikkan kerana kononnya ada mangsa yang tersepit di dalamnya.
“Mereka yang mengangkat kereta itu terdiri daripada 10 hingga 15
orang rata-ratanya berniat mahu menyelamatkan mangsa yang mungkin tersepit di
bawah kereta dan bukan sengaja untuk membalas dendam terhadap anggota polis.
“Dalam keadaan kelam kabut kami cuba mengawal situasi namun
terdapat dua atau tiga orang (bukan berpakaian kuning) bertindak menjerit dan
cuba melakukan keganasan melampau malah kami cuba menghalang dan turut
membelasah seorang daripada mereka yang cuba melarikan beg dari kereta polis
itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, rakaman keseluruhan kejadian dirakam oleh sebuah TV
Web dan dia sendiri turut mempunyai salinan rakaman itu.
“Kami sendiri yang mengeluarkan dan menyelamatkan anggota polis
daripada menjadi mangsa ganas individu terbabit yang berterusan masih mahu
melakukan provokasi meskipun ramai yang cuba meleraikannya.
“Saya juga hairan kerana rata-rata yang melakukan provokasi
melampau dan mengajak supaya memukul anggota polis terdiri daripada mereka yang
berpakaian biasa dan apa yang berlaku ketika itu amat pelik malah saya sendiri
juga tidak sempat untuk menghalang salah seorang mereka daripada menendang
beberapa motosikal anggota trafik yang diletakan dibahu jalan beberapa meter di
lokasi sama,” katanya.
Saiful berkata, turut menimbulkan persoalan insiden yang berlaku
seolah-olah dirancang kerana visual yang dirakamkan sebuah stesen TV diambil
dari tingkat atas sebuah lagi pusat membeli-belah.
No comments:
Post a Comment