Sehubungan
itu, bukanlah satu perkara yang pelik bagi Umno mempunyai seorang ahli beragama
Kristian asalkan ia seorang Bumiputera. Malah bukan menjadi satu keganjilan
jika Umno khususnya di Sabah satu ketika nanti akan dikuasai orang bukan Islam
jika majoriti Bumiputera bukan Islam di Sabah mengambil keputusan menyertai
Umno.
Ahmad Tajdid, Harakahdaily
MASIH ingat lagi John Ghani? Beliau ialah perwakilan Umno Sabah
dan pertama kali muncul dalam perhimpunan agung parti itu setelah Umno membuka
keahlian kepada Bumiputera selain bangsa Melayu.
John Ghani menjadi popular kerana loghat Sabahnya apabila
menyebut "zink" sebagai "jink" ketika berucap dalam
perhimpunan agung Umno. Antara yang menyiarkan ucapan wakil Sabah dari etnik Kadazandusun
beragama Kristian itu adalah Utusan Malaysia, akhbar milik Umno.
Keputusan Umno untuk bertapak di Sabah sebenarnya membawa banyak
perubahan kepada dasar, perlembagaan dan landskap parti nasionalis itu. Jika
sebelum masuk ke Sabah, Umno dikenali sebagai parti Melayu dan hanya menerima
Melayu (yang ditakrif mesti beragama Islam) sebagai ahli; namun setelah masuk
ke Sabah, Umno mula menerima ahli bukan Islam asalkan ia seorang Bumiputera.
Seorang Kadazan atau Murut beragama Kristian layak menjadi ahli
Umno kerana mereka ialah Bumiputera. Malah Umno telah mencatat sejarah apabila
seorang ahlinya yang beragama Kristian, Dato' John Ambrose dipilih sebagai
Ketua Umno Bahagian Penampang.
Fasal 4 perlembagaan Umno menyebut bahawa ahli-ahli Umno adalah
dua jenis iaitu ahli biasa dan ahli bergabung.
Ahli Biasa ialah Warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu atau
Bumiputera yang berusia 18 tahun ke atas (Fasal 4.2).
Ahli Bergabung adalah sebuah pertubuhan politik yang bersetuju
berkerjasama dengan Umno dan menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh Majlis
Tertinggi (Fasal 4.3). Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) kini menjadi Ahli
Bergabung Umno.
Pada Fasal 5 berhubung pendaftaran keahlian, disebut bahawa
tiap-tiap orang Melayu dan Bumiputera berhak mendaftar diri sebagai ahli Umno
mengikut Perlembagaan dan peraturannya.
Sehubungan itu, bukanlah satu perkara yang pelik bagi Umno
mempunyai seorang ahli beragama Kristian asalkan ia seorang Bumiputera. Malah
bukan menjadi satu keganjilan jika Umno khususnya di Sabah satu ketika nanti
akan dikuasai orang bukan Islam jika majoriti Bumiputera bukan Islam di Sabah
mengambil keputusan menyertai Umno.
Sebaliknya seorang Cina dan India beragama Islam tidak diterima
menyertai Umno. Ini kerana parti itu menetapkan anggotanya mestilah seorang
Melayu atau Bumiputera. Meskipun beragama Islam, seorang Cina atau India tidak
boleh menyertai Umno kerana ia parti yang hanya dikhaskan untuk Melayu dan
Bumiputera.
Sebagai contoh, walau bagaimana hebat pun seorang Cina itu
membela Umno mahupun dasar-dasar Umno dan BN, seperti dilakukan pensyarah kanan
Universiti Pertahanan Malaysia, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah; beliau tetap
tidak diterima menyertai Umno kerana dia seorang Cina yang hanya layak
menyertai MCA atau Gerakan. Malah Ridhuan Tee juga tidak boleh menjadi Ahli
Bergabung Umno kerana beliau seorang individu dan bukannya sebuah pertubuhan
politik.
Jadi apalah peliknya Umno untuk hidup harmoni dengan lain-lain
masyarakat Malaysia berlainan agama kerana parti itu sendiri mempunyai ahli
bukan Islam khususnya Kristian? Jika benar pun wujud konspirasi atau pakatan
sulit untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, apakah logiknya
pakatan itu jika penduduk Kristian di negara ini hanya mewakili 10 peratus
jumlah penduduk.
Malah ahli Parlimen DAP Jelutong yang dikaitkan dengan dakwaan
konspirasi itu sendiri beragama Buddha dan bukannya Kristian seperti anggapan
kebanyakan orang. Majlis itu juga turut dihadiri ahli jawatankuasa DAP cawangan
Bukit Tumba, Mohamed Razali Abdul Rahman. Mustahil bagi para paderi dan pastor
berkonspirasi untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara dengan
kehadiran penganut Islam.
Jika Utusan Malaysia dan pemimpin Umno begitu risau dengan
pengaruh Kristian di Semenanjung sehingga boleh menjejaskan taraf Islam sebagai
agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan, mengapa ia tidak melihat
usaha Umno Sabah bagi menarik lebih ramai Bumiputera bukan Islam menyertai
parti itu sebagai satu ancaman?
Malah Umno Sabah telah membentuk satu pasukan petugas khas bagi
menarik lebih ramai Bumiputera bukan Islam dari kalangan etnik Kadazandusun dan
Murut untuk menyertai Umno. Usaha ini, kata John Ambrose adalah untuk
menguatkan lagi kedudukan Umno di Sabah.
Langkah Umno Sabah ini, kata Ketua Umno Bahagian Penampang itu
mendapat lampu hijau daripada Presiden Umno (ketika itu), Dato' Seri Abdullah
Ahmad Badawi dan Timbalannya, Dato' Seri Najib Razak.
Mungkin ada di kalangan penyokong fanatik Umno berpendapat
bahawa keadaan ini khusus untuk Sabah sahaja dan tiada kaitan dengan politik
Semenanjung. Bagaimanapun gerakan yang dipelopori Umno Selangor bagi
memindahkan para pengundi Sabah ke Selangor khususnya di Shah Alam boleh
menangkis hujah ini.
Kesimpulannya, isu yang digembar-gemburkan Utusan Malaysia
bersumberkan dua laman blog pro-Umno itu sengaja ditimbulkan untuk
memburuk-burukkan DAP dan mengaitkannya dengan gerakan Kristianisasi. Ia tiada
kaitan langsung dengan survival umat Islam mahupun kedudukan Islam sebagai
agama Persekutuan.
Semua episod ini dirancang bertujuan mengocak sentimen umat
Islam khususnya bangsa Melayu untuk memastikan sokongan mereka terus kepada
Umno. Apatah lagi parti itu ingin dilihat sebagai pembela dan benteng politik
Melayu Islam.
Sudah-sudahlah tu... dalam Umno pun dah ada Kristian.
No comments:
Post a Comment