Mungkin ramai pembaca
mengenali wajah di atas manakala sebilangan lagi barangkali terkeliru. Namun
bagi penonton filem tempatan dan televisyen, personaliti di atas tentunya tidak
asing kepada mereka.
Cuma wajahnya berbeza
berbanding ketika dia menghiburkan ramai peminat sewaktu berkarya di pentas
seni.
"Bang, tolong
datang ke rumah saya sekejap, boleh? " soal Bob Kuman.
"Ada apa
Bob?," soal saya.
"Abang tolong
datang sahaja," pintanya.
Pada awalnya saya
berasa agak hairan dan menjangkakan Bob hanya sekadar bergurau. Terfikir, jika
dia berhadapan masalah, tentunya sebagai artis terkenal, dia mempunyai ramai
kenalan bersedia untuk membantu.
Apapun, hati kecil
mendesak saya memenuhi permintaannya lalu mengajak kru 666, Razali Harun untuk menemankan saya bertemu
Bob.
"Itu gambar saya,
sewaktu dirawat di Hospital Tawakal Kuala Lumpur. Malam tahun 2011 semasa sesi
penggambaran 'Jangan Pandang Belakang Congkak', siri televisyen, saya terjatuh
di Hulu Langat, Selangor. Wahid Senario dan Lan Pet Pet antara saksi kejadian
itu. Dalam keadaan pening, semput dan sakit, saya terpaksa memandu kereta
sendiri ke hospital dan dibiarkan begitu sahaja (sambil menghulurkan
handset).
Masa keluar dari pusat
rawatan itu, saya diberitahu, berhutang lebih kurang 7 ribu ringgit dengan
hospital dan saya kena bayar sendiri. Itu saya tidak boleh terima. Penerbit
tidak membantu sebab itu saya berasa kecil hati. Mujur selepas itu, dapat
rezeki sikit dan saya menjelaskan sebahagian daripada caj hospital itu. Kini
ada berbaki lebih tiga ribu enam ratus ringgit lagi," ujar Bob.
Tambah Bob, dia
dirawat di hospital terbabit dalam tempoh lebih 2 minggu.
Sambil berbual, saya
perhatikan mesin oksigen dan wayar dimasukkan ke dalam hidungnya bertujuan
untuk membantu pernafasan.
"Orang tidak
cukup oksigen bang, tidak ubah seperti sayur layu. Kulit saya pun telah berubah
warna," celah Bob.
"Saya sudah tidak
boleh bergerak sejak 8 April lalu dan kemudian memakai mesin oksigen ini.
Sebenarnya saya bukan ingin menagih simpati masyarakat," katanya biarpun
kelihatan dalam kesakitan dan sukar menarik nafas.
"Kongsikan fakta,
itu tidak salah," celah saya.
"Setakat ini
beberapa kawan membantu saya. Antara mereka, Adlin Aman Ramli. Dia bagi saya
pinjam duit RM2,000 bang masa saya tengah susah, sewaktu dirawat di Putrajaya.
Itu sahabat saya bang. Dalam keadaan begini, saya pun tidak boleh berkarya,
tidak ada pendapatan. Mujurlah gerai Bawal
Power saya kongsikan bersama
rakan mendapat sambutan dan boleh membantu sedikit dari segi kewangan,"
jelas Bob. Sesekali sewaktu berbual, dia berhenti, diam untuk menarik nafas.
"Timbalan
Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, pernah menghubungi saya untuk menghulurkan
bantuan. Saya memaklumkan wakil dia, bila simpati, dapat benda lain, dapat
beras, dapat biskut. Siapakah hendak membantu menjelaskan bil hospital saya?
Saya rasa macam malu," kata Bob lagi.
Bob memaklumkan saya,
dia kini amat memerlukan mesin dilengkapi tangki oksigen namun setakat ini
tidak mampu untuk menyewa keperluan itu.
"Bang, sekarang
ini saya hanya ada RM36 dalam akaun simpanan," bisiknya.
Saya kemudian menghubungi
Zed menggunakan telefon bimbit. Mujur dalam kesibukan dengan kegiatan seharian,
dia masih berpeluang untuk mengangkat panggilan dari nombor tidak dikenali.
"Melalui SENIMAN,
saya telah mengeluarkan surat sokongan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi
dan Kebudayaan di bawah Tabung Kebajikan Penggiat Seni tetapi setakat ini belum
mendapat sebarang keputusan dan berapakah jumlah bakal diterima oleh Bob.
Sebelum ini, beberapa artis seperti Nasir P. Ramlee dan Kamal Pendek telah
menerima sumbangan dari tabung terbabit," jelas Zed.
Selepas berhubung
dengan Zed, saya kemudian memaklumkan kejadian menimpa Bob kepada Penerbit
program Melodi, TV3.
Untuk pengetahuan
semua rakan artis dan peminat, Bob sedang berada dalam keadaan lemah, tidak
mampu bergerak, apatah lagi untuk keluar dari rumah di Seksyen 11, Kota
Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Kepada pembaca ingin
membantu Bob, sila hubungi Razali di talian 016 231 5812. Manakala berikut
nombor akaun Bob (HUSNI MOHD RAWI) Maybank 1123-7100-7047.
Jika akaun dilaporkan
disekat, bersabar dan sila rujuk entri Akaun
Maybank Bob Kuman disekat.
Ketahuilah, sesungguhnya kekadang berbuat kebaikan itu mempunyai cabaran
tersendiri.
'Bantulah, semoga
Allah sentiasa membantu sewaktu kita ditimpa musibah'
No comments:
Post a Comment