KUALA KLAWANG - Terkenang dosa dilakukan sebelumnya, pemuzik,
Sham Kamikaze pernah tidak memegang gitar selama empat bulan ketika awal
penghijrahannya mendekatkan diri kepada agama.
Sham atau nama sebenarnya, Shamril Mohd Salleh, 36, berkata,
perubahan kira-kira setahun lalu bermula dengan ajakan seorang sahabat karib
yang sama-sama bergelumang dalam industri muzik selama 13 tahun.
“Dia sama-sama meminati muzik rock dan metal serta berkongsi
minat dalam bermain gitar.
“Satu perubahan berlaku apabila sahabat saya ini mengajak
menunaikan solat fardu dengan menjelajah dari masjid ke masjid,” katanya.
Menurutnya, dia mengikuti rakannya itu sehinggalah bertemu
dengan imam dari Makkah di salah sebuah masjid yang mereka singgah.
“Bermula dari peristiwa itu saya mula mendalami ilmu agama.
Selama empat bulan saya tidak pegang gitar kerana saya memikirkan banyaknya
dosa saya lakukan sebelum ini,” katanya pada Forum Bicara Cinta Anak Muda
(FBCAM) di Dewan Majlis Daerah Jelebu (MDJ), di sini, malam kelmarin.
Forum anjuran Majalah-i terbitan Kumpulan Media Karangkraf (KMK)
dan Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) itu
dipengerusikan Editor Majalah-i, Ahmad Yani Abdul Manaf.
Selain Sham, tiga panel lain yang turut serta adalah bekas
penyanyi popular sekitar 90-an, Farra; penulis buku Karya Bestari, Profesor
Madya Mohd Nor Mamat dan penerima Anugerah Saudara Muslim Cemerlang Kebangsaan
2011, Muhammad Adnan Abdullah.
Sementara itu, Farra atau nama sebenarnya, Farihah Mohd Arshad,
43, yang popular dengan lagu ‘Bagaikan Puteri’ turut menceritakan detik dia
meninggalkan zaman glamor untuk untuk mendekatkan diri dengan agama.
“Generasi muda pada masa kini juga perlu sedar akan
tanggungjawab mereka kepada diri dan agama serta tidak jemu mendalami ilmu
agama,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Yani berkata, forum berkenaan merupakan
siri ketiga dianjurkan pihaknya.
“Sebelum ini kita memilih tajuk ‘Hatiku Hanya Milikmu’. Namun
kali ini kita sesuaikan program khas untuk golongan muda pula,” katanya.
No comments:
Post a Comment