SHAH ALAM - Menteri Besar Kelantan,
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dukacita kerana menteri-menteri dan timbalan
menteri Kerajaan Pusat yang datang ke negeri itu tidak pernah mengunjungi
pejabat beliau kecuali dua anggota Kabinet.
Nik Aziz berkata, Kelantan adalah
sebuah kerajaan yang dipimpin oleh seorang menteri besar, yang seharusnya
menteri atau timbalan pusat mengunjunginya selaku ketua kerajaan di negeri yang
mereka lawati.
“Dia nak datang tu, datanglah, (Kelantan)
tetapi kalau boleh datanglah ke pejabat menteri besar, sebab dia ada kerajaan
dan ada ketuanya sendiri.
“Sejak saya menjadi menteri besar
hampir 22 tahun ini, hanya ada dua orang menteri sahaja yang bersedia datang
bertemu saya, baik dia iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri
Mohamed Nazri Aziz.
“Seorang lagi yang sempat bertemu
saya bekas Menteri Pertanian, kalau tak silap saya bekas Menteri Luar Bandar
dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, orang lain tak datang,” kata
beliau dipetik Harakah Daily semalam.
Beliau berkata demikian ketika
mengulas berhubung kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin dan awal Mei ini Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Nik Aziz mengetuai Kerajaan Negeri
Kelantan sejak 1990.
Ketika ditanya adakah lawatan itu ada
kaitan dengan pilihan raya semakin hampir, beliau berkata, terpulanglah kerana
pilihan raya atau sebaliknya, sebab Pas sendiri turun ke seluruh negara
khususnya sebagai persiapan menghadapi pilihan raya.
“Tetapi soalnya sekarang rakyat mesti
faham untuk menjatuhkan kerajaan negeri yang ditadbir Pas apa dosa yang telah
dilakukan oleh parti Islam ini,” ujarnya.
Tambah Nik Aziz, perjuangan Pas
menarik manusia kembali pada ajaran ALLAH yang sebenar.
Mursyidul Am Pas ini berkata, selepas
manusia mati sudah pasti akan dibangkitkan semula sama ada mahu atau sebaliknya
tetap akan dihidupkan semula.
Sambil merujuk surah Yaasin ayat 51
dan 52, Nik Aziz berkata, setiap manusia yang mati akan dihidupkan semua untuk
menerima pembalasan di akhirat.
Oleh itu jelas beliau, Pas telah
membawa ajaran yang selari dengan Islam kerana ianya menjadi tanggungjawab
perjuangan umat Islam.
No comments:
Post a Comment