SUNGAI BULOH: Tidak tahu cara menunaikan solat ketika sakit termasuk kaedah bertayamum dengan betul menyebabkan hanya 15 peratus daripada pesakit Muslim yang dirawat di wad hospital di negara ini menunaikan tanggungjawab itu.
Pensyarah Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Azhar Yahya, berkata lebih ‘parah’ apabila mereka yang terlantar sakit hanya menaruh ‘pengharapan’ tinggi kepada Allah untuk sembuh, sedangkan tidak berusaha mendekatkan diri kepada penciptaNya.
“Pengalaman ini saya lihat ketika berada lama di hospital selepas anak menghidap meningitis (radang lapisan otak). Bila sampai di wad, saya lihat orang lain dalam keadaan tekanan, tetapi dia mengharap pada Allah dan pengharapannya tidak sempurna...dia tidak solat, tapi berharap.
“Bila saya kaji mengenai senario berkenaan, hampir 15 peratus pesakit ditempatkan di wad hospital saja yang solat dan 85 peratus pula tidak berbuat demikian,” katanya selepas Majlis Pelancaran buku Pedoman Pesakit di Auditorium Hospital Sungai Buloh, di sini, semalam.
Buku edisi khas penulisan Azhar bersama isterinya, Fadilah Yaacob bertajuk ‘Panduan Bersuci, Solat, Puasa dan Motivasi Pesakit’ dihasilkan dengan kerjasama Masjid Kota Damansara merangkumi enam bab termasuk wuduk, tayamum, solat, puasa, ubat dan motivasi pesakit.
Pada majlis berkenaan, 20 naskhah buku terbabit diedarkan secara percuma kepada pesakit Muslim yang ditempatkan di Wad 5A, Wad Ortopedik, dalam usaha memberi kesedaran kepada golongan berkenaan untuk melakukan solat dalam kaedah paling mudah.
Hadir sama merasmikan program berkenaan, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Rais Rasid; Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Khalid Ibrahim dan Nazir Masjid Kota Damansara, Ustaz Taib Pa.
Menurutnya, kejahilan mengenai bab bersolat menjadi faktor ramai pesakit yang ditempatkan di wad hospital tidak menunaikan kewajipan bersolat lima waktu, sedangkan Islam memberikan banyak kemudahan kepada golongan berkenaan untuk melaksanakannya.
“Mungkin mereka (pesakit) jahil dan tidak tahu cara yang sebenar, pada hal Islam memberikan suatu keringanan yang amat besar kepada mereka yang sakit ini untuk bersolat dengan cara yang mudah dan sehubungan itu perlu dipaparkan kemudahan terbabit.
“Islam tawarkan kepada pesakit dari segi sembahyang paling mudah dalam mazhab Shafie terutama ‘Kitab Al-Muktamad’, menyebut kita boleh solat duduk, dan jika tak boleh duduk boleh baring, menggunakan badan, suara, mata dan hati, manakala tahap paling rendah sekali adalah mata dan hati,” katanya.
Mengulas mengenai senario berlaku di hospital, beliau berkata, perasaan ceria ketika mula dimasukkan ke dalam wad menyebabkan emosi berkenaan bertukar kepada tahap marahkan Allah hingga akhirnya tidak reda menghadapi penyakit.
“Di situlah nanti maki-hamun keluar dari mulut mereka serta menyalahkan doktor dan jururawat. Mereka perlu tahu, sakit dihadapi sebenarnya menghilangkan dosa. Orang yang sakit adalah mereka yang paling mudah untuk beribadat. “Bab tayamum juga ramai tidak tahu, sedangkan ada caranya untuk melaksanakannya walaupun keutamaan kepada pandangan mazhab Shafie, tetapi pandangan kontemporari digunakan untuk memudahkan amalan,” katanya.
Sementara itu, Dr Khalid berkata, 500 naskhah buku ‘Pedoman Pesakit’ akan ditempatkan di wad hospital berkenaan bagi dijadikan bahan bacaan dan rujukan kepada pesakit Muslim untuk mengetahui kemudahan bersolat ketika di hospital.
No comments:
Post a Comment