BACALAH KAMU ...........................ALHAMDULILLAH

Monday, March 26, 2012

NOVEL – SUDAH NASIB MAT BURGER

 

Sebuah karya Ustaz Mohd Khalil (Kadi Kluang Johor)
Di copy paste kan
(kerana aku adalah peminatnya)

EPISOD 27

Yanti memandu sendiri ke Kemaman, maklumlah jadi urusetia kursus dua minggu, bukan kejap. Nanti boring-boring bolehlah naik kereta jalan-jalan. Yanti dah biasa memandu sendiri walaupun jauh, jalan melalui lebuhraya Karak, kemudian Temerloh, Maran, Kuantan, barulah sampai ke Kemaman dalam jam 3.00 petang. Masa tu tak ada lebuhraya Pantai  timur macam sekarang. Urusetia kursus 6 orang, 2 perempuan. Semua urusetia lain Yanti baru kenal di situ.

Jadi urusetia kursus ni penatnya macam peserta kursus gak, malah lebih penat lagi. Dalam dua minggu ni, tidur pun tak cukup, paling cepat pun tidur pukul satu. Bangun tidur pulak 5.30 pagi dah bersedia untuk kawal peserta pegi solat subuh. Bagi Yanti, dua minggu ini suatu yang menghiburkan juga, biasalah banyak aktiviti dengan bersukannya dan aktiviti luar. Jadi, Yanti nampak ceria dan macam tak ada masalah dan tak ada kerunsingan apa-apa.

Man di kampung sudah sihat hampir ke sedia kala. Sudah masuk tiga minggu juga dia lalui pembedahan. Man dah mula boleh berjalan, bercakap, mendengar dan makan minum seperti biasa. Man mahu sangat hendak ke JB untuk berniaga burger semula tapi dilarang ibu dan bapanya. Mereka risau sebab Man nampak belum berapa sihat seperti sebelumnya. Ikutkan hati Man, Man dah rasa dirinya sihat, tapi bagi mak ayah Man, biasalah sikit-sikit risau, tak habis-habis risau pasal Man.

Aboi dan Man sering berhubungan mengenai jualan burgernya. Aboi nampaknya seorang yang jujur dan ada potensi untuk mengikut jejak langkah kejayaan Man. Cuma Aboi tak berapa mesra dengan pelanggan, dia masih baru nak berniaga, tak berapa mesra sangat. Pelanggan Aboi tak seramai dulu antaranya rasa burger yang Aboi tak sama dengan burger dari 'tangan sakti' Man. Man dah tahap pakar walaupun cara masak dan ramuan sama saja dengan burger Aboi, tapi lain rasanya. Ini menambahkan rasa nak balik cepat ke JB. Man rasa dia seminggu lagi di kampung.

Man juga dah boleh pandu kereta walaupun ibu Man selalu membebel dan larang Man bawak kereta sebab katanya Man tak berapa stabil lagi. Tapi Man bawa juga kereta Wajanya jalan dekat-dekat. Suatu hari, waktu makan malam bersama, keluarga Man berbual sambil menikmati jamuan.

"Man. Bila-bila pergilah bank, pulang semula duit Yanti 10,000 tu". Kata ayah Man.

"Nantilah abah, Man pun belum ada masa nak pegi bank lagi". Kata Man.

"Bukan apa, abah rasa tak sedap hati, kau pun ada duit 10,000. Cuma hari tu tak sempat nak bayar". Kata ayah Man.

"Yer Man, betul kata abah kau tu. Kita tak mahu terhutang budi banyak pada orang yang bukan keluarga kita". Kata ibu Man pula.

Man tersentak juga.  Man pun sudah hampir sebulan tak berhubung dengan Yanti. Untuk pulangkan semula wang 10,000 pada Yanti, Man pun serba salah juga, takut Yanti terasa hati. Man pada mulanya ambil keputusan untuk menghubungi Yanti. Tapi..... tiba-tiba timbul perasaan takut, Man masih takutkan kejadian dia dibelasah berulang. Man tahu Yanti sudah pindah ke KL dan Man rasa mungkin duduk rumah mak ayah Yanti. Jadi kalau telefon, bimbang ada adik beradik Yanti yang jawab, fikir Man. Man tak jadi hubungi Yanti dan mengambil keputusan untuk berdiam diri tanpa menelefon Yanti. Namun perasaan rindu Man pada Yanti tetap tak hilang.

Suatu hari pula, ayah Man bertanya suatu soalan pada Man, soalan yang sangat sukar dijawab.

"Man. Kamu kena pukul di JB kenapa, ada kaitan dengan Yanti ker ?". Tanya ayah Man.

"Abah.... Man tak mahu kenangkan itu semua lagi. Man tak pasti.....". Kata Man.

Namun, ayah dan mak Man ada mensyaki sesuatu, lebih lagi memikirkan kenapa Yanti sanggup mengeluarkan 10,000. Dan yang paling nyata, kenapa Yanti kata "untuk menebus dosa dan kesalahan Yanti". Perkataan itu, bagi seorang bapa yang dah sangat matang, sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena. Lagi pun, Yanti sanggup tunggu Man di hospital dan sekali sekala Yanti berkata "tidak! tidak!" seolah-olah ada seseorang yang Yanti marahkan, mungkin marahkan orang yang membuatkan Man begitu.

Tapi ayah Man taklah mahu Man berterus terang dalam keadaan Man yang masih trauma, tidak sepatutnya diasak dengan soalan sebegitu. Suatu hari pula, waktu mak dah ayah Man berdua dalam kereta untuk ke bandar, perbualan ini berlaku.

"Saya mahu Man pulangkan juga wang 10,000 itu pada perempuan tu. Dan kalau boleh Man putuskan hubungan dengan perempuan tu segera". Kata ayah Man kepada ibu Man dalam kereta.

Ibu Man tersentak juga, seperti terkejut.

"Putuskan hubungan ? Kan Yanti itu budak baik, tengok dia tinggi budi bahasa pada orang tua dan sopan santun". Kata ibu Man.

"Saya dah tahu semua cerita yang sebenarnya, kenapa Man kena pukul.... Semuanya disebabkan keluarga perempuan tu yang pukul Man sampai jadi macam tu. Takkan saya sebagai bapak nak berdiam diri saja". Kata ayah Man sambil memandu.

"Awak tahu dari mana cerita ni ? Man tak cerita apa-apa pun". Kata ibu Man.

"Saya tahu, ada orang yang cerita pada saya sebelum ni, dia orang yang rapat dengan Man, tak perlulah tahu siapa yang cerita tu". Kata ayah Man. Ibu Man mendengar dengan teliti sambil memperlahankan radio kereta.

"Orang tu mula tak mahu cerita lanjut, tapi akhirnya dia bercerita juga perkara sebenar selepas saya pujuk ". Kata ayah Man lagi.

"Siapa yang cerita ? Kawan Man ker yang kurus-kurus tu ? Yang kerja dengan Man jual burger tu ker ? ". Tanya ibu Man.

"Tak payahlah tahu siapa, tak penting. Sekarang yang penting, kita kena jaga diri Man. Jangan pisang berbuah dua kali". Kata ayah Man.

Ibu Man terdiam bila ayah Man kata dapat cerita dari seseorang yang rapat dengan Man di JB. Anggapan ibu Man, mungkin benar apa yang dicakapkan ayah Man tu.

"Awak cakaplah pada Man, supaya putuskan hubungan dengan perempuan tu. Perempuan tu memang baik, tapi keluarga dia ? Kita pun tak kenal, katanya anak orang kaya di KL. Kita orang kampung jer. Saya taknak masalah lain timbul nanti ". Tambah ayah Man.

"Lagi satu, awak ingat ke dengan perempuan yang awak cadang nak jodohkan dengan Man dulu, anak kawan yasinan awak tu. Belum kawin lagi ke perempuan tu ?". Kata ayah Man.

"Yang tu dah tunang, nak lansung hujung tahun ni dengan cikgu sekolah katanya. Dulu Man tak ndak". Kata ibu Man.

Balik tu, ibu Man sangat serba salah untuk menyatakan apa yang diminta untuk disampaikan ayah Man. Sebagai seorang ibu, dia sangat mengetahui perasaan anak lelakinya yang sedang dalam alam percintaan, bukan senang untuk mengeluarkan perkataan sebegitu. Ibu Man juga tetap suka pada Yanti, seorang gadis yang cantik, pandai mengambil hati orang tua dan berpelajaran tinggi.

Bagaimanapun, hasrat bapa Man itu perlu juga diberitahu kepada Man. Tapi bila ? Kalau tak sekarang, lepas ni Man dah nak ke JB semula....Ibu Man menangguhkan hasrat untuk memberitahu Man perkara itu, tapi ibu Man sedang mencari masa dan suasana yang paling sesuai untuk diberitahu pada Man. Bila ?

BERSAMBUNG KE EPISOD 28

No comments:

Post a Comment