BACALAH KAMU ...........................ALHAMDULILLAH

Monday, June 11, 2012

Kejahilan dorong khurafat

    

KUALA LUMPUR: “Dalam keadaan terdesak, siapapun senang jadi begini (dipergunakan) hingga sanggup membuang duit semata-mata mahu cepat pulih,” kata penceramah bebas, Ustaz Ahmad Dasuki Abd Rani.
Menurutnya, kejahilan agama, selain mudah percaya perkara berunsur khurafat dan tahyul menyebabkan mudah diri individu dalam masyarakat terpengaruh dan menggunakan khidmat bomoh, meskipun sedar perbuatan berkenaan tidak diterima akal.

“Sebenarnya orang kita terlalu percayakan pada perkara berunsur khurafat dan tahyul hingga pada satu peringkat mereka tidak percaya pada perubatan Islam, apatah lagi perkara dilakukan sebenarnya tidak boleh diterima kewarasan akal.
“Kalau akal tidak terima apa lagi syariat yang menolak perkara sedemikian. Asas kepada berlakunya perkara ini kerana kejahilan.

“Masyarakat pada hari ini mahu cepat pulih, sedangkan secara logiknya penyakit dihadapi mengambil masa untuk sembuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar ini, Jumaat lalu apabila seorang lelaki kerugian RM100,000 selepas sejumlah barang kemas diserahkannya untuk dijampi ditukar dengan makanan ringan.
Semuanya berlaku akibat percayakan temberang bomoh kononnya mahu menghalau hantu perempuan yang mengganggunya.

Mangsa yang berumur 50-an sebelum itu diberi syarat supaya membuka beg mengandungi barang kemas itu selepas tempoh 21 hari bagi memastikan jampi berkesan, namun dia membukanya cuma empat hari kemudian berikutan curiga kemungkinan ditipu.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad, berkata dalam aduannya mangsa mendakwa kejadian bermula apabila dia berjumpa secara tidak sengaja dengan seorang wanita yang mendakwa dirinya cucu tabib tersohor di sebuah pusat beli-belah di sekitar bandar raya ini pada 31 Mei lalu.

Dalam perbualan mereka, wanita berusia 30-an itu mendakwa mangsa kini dalam bahaya akibat diganggu hantu perempuan dan menawarkan diri untuk membantu mangsa kerana jika tidak diubati, nyawa mangsa dalam bahaya.

Berikutan itu, mangsa bersetuju dan mengikut segala syarat ditetapkan suspek iaitu menyerahkan barang kemas serta wang tunai yang dimasukkan ke dalam sebuah beg galas untuk dijampi.

Ahmad Dasuki berkata, tidak salah seseorang itu menggunakan khidmat pengamal perubatan, namun perlu menggunakan kaedah perubatan Islam sebenar.

“Boleh jadi dalam keadaan tertentu, mangsa benar-benar sakit...tetapi dia tersilap berjumpa orang yang sepatutnya mengubati penyakit dihadapi. Bila silap orang, maka dia mudah diambil kesempatan hingga masalah dihadapi menjadi berganda (sakit dan ditipu),” katanya.

No comments:

Post a Comment