BACALAH KAMU ...........................ALHAMDULILLAH

Thursday, June 14, 2012

Fatwa Dato Mufti Pahang 'antara mengundi dan Haji'


Catatan Ustaz Rosli Jabar

Saya mendengar ucapan Sohibul Fadhilah Dato Mufti Pahang di radio pagi tadi 'meminta supaya umat Islam mengutamakan ibadah haji daripada pilihanraya, kerana ibadah haji adalah fardu ain dan pilihanraya adalah fardu kifayah dan keutamaan ibadah haji mengatasi pilihanraya berdasarkan kepada 'fiqh aulawiyat'.

Jari jemari saya mula terasa bergerak dengan sendirinya, untuk menyusun perkataan bagi memberi pandangan kedua, tetapi bukan dengan niat sengaja untuk membina 'kontra' antara saya dengan beliau, saya hanyalah seorang ustaz kampungan, kerana itu saya sangat menyedari kelemahan diri dari sudut ilmu pengetahuan untuk dibuat perbandingan dengan seorang ilmuan yang bergelar Mufti. Saya juga menulis sebagai pandangan peribadi yang sama sekali tidak bertujuan untuk mengheret orang lain supaya bersetuju dengan pandangan peribadi saya. Saya memisahkan fikrah politik dalam menjawap isu ini, juga saya lemparkan sejauh-jauhnya jawatan politik saya dan tulisan ini bukan datangnya dari seorang Yang DiPertua PAS Kawan. Kuantan , supaya aspirasi jawapan ini tidak dilihat sebagai isu politik tetapi isu agama.

Fiqh bermaksud 'faham' Aulawiyat adalah jamak dari perkataan 'aula' yang bermaksud paling utama dan paling penting. Pengertian Fiqh Aulawiyat ialah " memahami apa yang paling utama dari beberapa perkara dari sudut perlaksanaan". Para Ulama juga telah menta'rifkanya dengan berbagai perkataan tetapi membawa kepada maksud yang sama iaitu " menetapkan sesuatu pada martabatnya, tidak mengemudiankan apa yang perlu didahulukan, atau mendahulukan apa yang berhak dikemudiankan, tidak mengecilkan yang besar atau membesarkan yang kecil"

Saya tidak bermaksud untuk meletakkan Dato Mufti sebagai agen kepada parti politik kerajaan, cuma kenyataannya itu saya yakin adalah response dari isu politik pilihanraya khususnya antara PAS dan UMNO, tetapi masyarakat sekarang berada pada satu keadaan 'dilema' yang sangat kritikal hasil daripada jolokan provokasi kerajaan yang merancang untuk mengadakan pilihanraya pada musim haji. dilema ini tercetus kerana sikap politik bukan sifat agama. kerana agama Islam itu sendiri adalah agama yang dapat menyelesaikan semua permasaalahan manusia. 

Kekusutan melanda bila pro dan kontra berlaku antara mendahulukan Haji dan mengundi kerana:

1. Jamaah yang hendak menunaikan haji bergantung kepada kouta yang dikeluarkan, seseorang yang menolak kouta haji pada tahun ini, belum tentu mungkin untuk mendapatkannya pada tahun hadapan, mungkin 10 tahun lagi atau mungkin yang entah berapa mungkinnya lagi, apatah lagi yang sudah berumur, pastinya terkedu benaknya menghitung usia yang entah kan sempat atau tidak untuk keMekah pada tahun yang akan datang.

2. Pilihanraya adalah kewajipan kepada rakyat, Dato Mufti sendiri pernah mengeluarkan fatwa mengundi adalah wajib mengikut hukum syarak berdasarkan kaedah " tidak sempurna yang wajib, kecuali dengannya, maka ia menjadi wajib". Bagi mereka yang memiliki kesedaran agama, sudah tentu memandang kewajipan mengundi itu lebih besar daripada ibadah haji, kerana tujuan mengundi adalah untuk memilih pemimpin negara, baik buruk, Islam atau Sikular sebuah pemerintahan bergantung kepada keputusan pilihanraya, dalam sistem pilihanraya kelebihan satu undi sahaja, sudah layak untuk mencapai kemenangan, setiap orang mewakili satu undi, maka setiap satu undi itu akan mempengaruhi keputusan pilihanraya. Bagi orang yang 'berfikrah agama' sudah tentu dilemanya lebih berat, kerana merasakan betapa pentingnya pilihanraya untuk dapat tertegaknya sebuah kerajaan Islam.

Melaksanakan ibadah haji dan mengundi adalah manifestasi dari iman dan kesedaran ummah yang sangat ingin kepada agama, cuma berada dipersimpangan aulawiyat, saya yakin bagi ahli UMNO kalau berlaku pilihanraya pada musim haji, mereka akan memilih haji, kerana mereka tidak kisahpun sesiapa yang memerintah asalkan dapat hidup je, tetapi bagi orang PAS sudah tentu memandang pilihanraya sangat penting, kerana kedudukan negara yang semakin terancam dengan sikap pemimpin yang menolak hukum Allah SWT. Sabda Nabi SAW " Ikatan Islam akan tercabut satu persatu, bermula dari hukum-hukumnya, dan akhirnya adalah solat". inilah kedudukan negara kita sekarang, umat Islam telah tercabut roh Islamnya kerana kesan dari tiada perlaksanaan hukum Allah, sehinggakan berapa ramai pula umat yang mengaku Islam tetapi tidak solat. begitulah juga kes gejala sosial zina, buang bayi, kelahiran anak luar nikah,dadah dan banyaaaaaaaaak lagi, begitu juga ancaman terhadap harta benda negara kesan daripada memilih pemimpin yang rakus dengan nafsu dunianya. sifat mukmin sejati telah tercabut dari dada umat Islam, Ini semua kerana pemimpin tidak melaksanakan hukum Allah.

Kerana itulah orang yang berfikrah agama memandang bahawa mengundi adalah lebih penting dari mengerjakan haji, Apakah disaat kita menunaikan haji, pada waktu yang sama kita tidak membantu jamaah Yang berhasrat untuk melaksanakan hukum Allah supaya menang dan dapat tegakkan hukum Allah SWT. Apakah tenang jiwa seorang jamaah haji dikala mengingatkan ancaman yang sedang melanda negara,umat dan keluarganya. Kerana itulah Rasulullah SAW menunaikan Haji diakhir kehidupannya, sebahagian besar dari Kenabian dan kerasulanNya dipenuhi dengan kerja-kerja dakwah dan berperang untuk kemenangan Islam. 

Saya sarankan agar Dato Mufti tidak " bermain" dengan fiqh aulawiyat ini. mencadangkan penggunaan 'fiqh aulawiyat' kepada bukan sasaran juga telah membelakangkan 'fiqh aulawiyat' itu sendiri. Haji telah ditetapkan musimnya oleh Allah SWT, tidak boleh dipinda pada bulan-bulan yang lain, manakala pilihanraya adalah sistem yang diciptakan manusia bersifat anjal, boleh diubah masa dan tarikhnya mengikut kehendak manusia. ( dengan izin Allah), tetapi kelihatannya isu haji dan pru ini telah dipermainkan, maaf! saya katakan Dato Mufti juga sama berpeluh kerana dipaksa bermain oleh pemimpin yang memainkan isu ini.

Saya juga sarankan Dato Mufti keluar padang dari permainan pemimpin UMNO nih, jika hendak berdalilkan kepada fiqh aulawiyat, saya minta Dato Mufti berjumpa dengan pemimpin UMNO, biar saya susunkan perkataan untuk Dato jelaskan kepada mereka, Dato bagitahulah kepada mereka bahawa " Haji dan mengundi kedua-duanya adalah penting, tujuan haji untuk memenuhi rukun islam kelima, tujuan mengundi untuk memilih pemimpin yang akan menjaga hukum islam, tetapi haji adalah ibadat yang telah ditentukan oleh Allah SWT masanya, tidak boleh manusia ubah, sedangkan pilihanraya adalah waktu yang boleh kita ubah waktunya, maka berdasarkan 'Fiqh Aulawiyat' meminda tarikh pilihanraya, supaya tidak bertembung dengan musim haji adalah wajib", kerana jika memilih tarikh yang bertembung akan menyebabkan rakyat tidak dapat menyempurnakan salah satu kewajipan, manakala tidak mengadakan pilihanraya pada musim haji menyebabkan rakyat dapat sempurnakan semua kewajipan, maka memilih untuk dapat melaksanakan kedua-dua kewajipan mesti diutamakan daripada memilih untuk hanya mendapat satu kewajipan" inilah yang sepatutnya Dato bagitau kepada pemimpin UMNO, kalau sekiranya Dato hendak berdalilkan kepada fiqh aulawiyat dlm menangani isu ini.

Maaf Dato Sohibul Samahah, sekiranya tulisan ini mencemar kemulian seorang Mufti , saya budak kampung yang tiada ilmu, tak layak rasanya nak tegur Dato, enggang dengan pipit tak mungkin boleh terbang sama tinggi, tetapi ketika enggang mencari makan dibumi , maka ia akan berada ditahap yang paling rendah, pada ketika itulah pipit berada lebih tinggi dari enggang.

No comments:

Post a Comment