BACALAH KAMU ...........................ALHAMDULILLAH

Sunday, June 17, 2012

Berbunga kasih ibu dihari bapa:


Dia dibesarkan oleh ibunya bersama adik beradiknya seramai 7 orang, ayahnya meninggal dunia ketika usianya 4 tahun, kerana itu dia seperti tak pernah merasai kasih sayang seorang ayah, kerana belum lagi ia mengerti tentang kehidupan, bapanya terlebih dahulu dijemput oleh Allah SWT. Ia membesar dengan kasih sayang ibunya semata-mata disamping adik -beradiknya.

Ketika ayahnya meninggal abang -abang dan kakak-kakanya masih bersekolah, dia sekeluarga menumpang disebuah rumah tinggal dan usang. Hidup didalam keluarga miskin, kerana sumber rezeki keluarganya hanya dari pendapatan ibunya yang bekerja mengambil upah membasuh kain dirumah orang. Cubalah bayangkan dengan kudrat seorang ibu dia dan adik-beradik membesar dan bersekolah, sudah pasti dia terpaksa menjalani kehidupan yang sangat daif. hanya mampu mendengar bila kawan-kawannya bercerita tentang cerita2 dari siaran TV, kerana rumahnya jangankan TV, lektrik pun takde, dia hanya mampu melihat bila kawan-kawan berpakaian cantik sedangkan dia pada hari raya pun kadangkala terpaksa pakai pakaian sekolah, kerana itulah yang terbaik, hanya melihat sahaja basikal kawan2 melintasinya ketika dia kesekolah, kerana dia hanya mampu berjalan kaki, miskinnya dia.

Setiap hari dia melihat pengorbanan ibunya yang sanggup tidak berkahwin walaupun baru berusia 35 tahun ketika kematian bapanya, alasannya kerana sayang kepada anak , takut nak kawin bimbang anak-anak diapa-apakan, lalu ibunya sanggup hidup dengan penuh penderitaan. Dia telah merasai hidup susah, hidup miskin. Bukan mudah untuk merasai keperitan hidup miskin kecuali apabila telah merasainya. Bukan senang untuk menjiwai kesedihan anak yatim, kecuali apabila telah merasainya.

Tidak ada ibu kecuali ibunya, tidak ada bapa kecuali ibunya, tidak ada pengasuh kecuali ibunya, tidak ada pembimbing kecuali ibunya, Ibulah segala-galanya, kerana ia tidak pernah sempat mengerti tentang kasih seorang ayah. Kerana itu apabila tiba sambutan hari ibu, saya sentiasa teringatkan pengorbanan ibu saya, apabila tiba sambutan hari bapa, saya tetap teringatkan pengorbanan ibu saya. Sebab hidup saya hanya diselimuti kasih sayang seorang ibu, dari kecil sehingga kini. Saya katakan begitu kerana 'dia' adalah saya.

No comments:

Post a Comment