"SAYA mahu berkongsi peristiwa yang masih
mencengkam hidup walaupun ia sudah lama berlaku. Memang sukar untuk saya
maafkan diri ini dan rasa bersalah sentiasa bermain difikiran apabila
mengingatkan saat-saat itu.
Saya dan suami adalah pasangan yang romantis
malah menjadi perbualan rakan-rakan di pejabat. Walaupun sibuk dengan tugas
harian, tanggungjawab melayan suami dan menguruskan anak-anak, saya lakukan
dengan sempurna.
Suami memahami tanggungjawab di rumah dan
sentiasa membantu menguruskan rumah tangga. Kami sering mengerjakan solat
berjemaah dan saya gembira melihat hubungan dalam keluarga saya.
Walaupun sesibuk mana tugas di pejabat,
tanggungjawab melayan suami dan anak-anak tidak pernah diabaikan. Saya
bersyukur suami memahami saya dan sentiasa bertolak ansur. Ini menjadikan saya
semakin sayang kepadanya.
Memang dalam kehidupan, kita tak dapat melawan
takdir dan ketentuan Ilahi. Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, Allah
jua yang menentukan.
Hari itu, Isnin. Saya masih ingat, saya ke
pejabat awal pagi kerana banyak urusan yang perlu diselesaikan selain temu
janji dengan beberapa pelanggan yang perlu dibereskan.
Hari itu, saya pulang lewat ke rumah, biasanya
jam 6 petang, saya sudah ada di rumah. Ketika saya sampai ke rumah, azan dari
masjid berhampiran berkumandang. Saya lihat suami sudah bersiap-siap untuk
pergi menunaikan solat Magrib. Begitu juga anak-anak saya sudah mandi dan riang
bersama bapa mereka. saya lihat suami saya amat gembira petang itu.
Saya begitu terhibur melihat telatah mereka
kerana suasana seperti itu jarang berlaku pada hari bekerja. Maklumlah
masing-masing penat. Suami sedar saya amat penat hari itu. Oleh itu, dia
meminta agar saya tidak memasak, sebaliknya mencadangkan makan di luar. Saya
dengan senang hati bersetuju.
Selepas menunaikan solat Maghrib, kami keluar
ke sebuah restoren kira-kira lima kilometer dari rumah. Di restoren, kami
sekeluarga berbual panjang, bergurau senda dan usik-mengusik, memang seronok
bersama. Macam-macam yang dibualkan malah saya lihat suami begitu ceria melayan
tiga anak kami yang berusia tujuh hingga 12 tahun.
Saya dapat rasakan kemesraan suami luar biasa,
cara dia melayan dan ketawa memang bukan seperti hari biasa. Dalam hati
terpancar rasa bangga kerana mampu membahagiakan suami tersayang. Saya melihat
jam tangan.
"Sudah jam 12.30 tengah malam, bang. Dah
lewat ni, ayuh kita pulang," kata saya.
Suami tanpa banyak soal memanggil pelayan dan
membayar bil makanan dan minuman. Kami tiba di rumah jan 12.50 tengah malam.
Anak-anak yang keletihan terus masuk tidur.
Saya memang terlalu mengantuk apatah lagi
selepas menikmati hidangan lazat di restoren. Mata pun seperti berat dibuka
lagi. Ketika saya hampir melelapkan mata, suami membelai lembut rambut dan mencium
pipi saya. Saya membuka mata dan hanya tersenyum.
Dalam hati, saya memang mahu melayan kehendak
suami tetapi hati saya berkata, esoklah, mata terlalu mengantuk, esok masih
ada. Saya memberitahu suami terlalu mengantuk dan tidak boleh melayan kehendaknya.
Saya mencium suami dan mahu melelapkan mata.
Bagaimanapun, saya pelik kerana suami masih
merangkul tubuh saya, seolah-olah terlalu berat untuk melepaskan. Saya membuka
mata dan melihat wajah suami yang berseri-seri. Hairan saya kerana suami belum
mengantuk, sedangkan dia juga keletihan.
Dia menarik saya lebih dekat dan membisikkan
di telinga bahawa itu permintaan terakhirnya. Namun, dek terlalu letih dan
tidak memikirkan perkara itu terlalu penting ketika itu, saya seolah-olah terus
melelapkan mata tanpa sepatah bicara. Perlahan-lahan, suami melepaskan tangan
yang merangkul saya.
Esoknya, perasaan saya agak tidak menentu.
Seperti ada pekara yang tidak kena.Saya menelefon suami, tetapi tidak berjawab.
Sehinggalah saya dapat panggilan yang tidak dijangka daripada pihak polis yang
mengatakan suami saya terbabit dalam kemalangan dan meminta saya datang segera
ke hospital.
Hati saya seperti mahu meletup ketika itu.
Saya bergegas ke hospital tetapi segala-galanya sudah terlambat. Allah lebih
menyayangi suami dan saya tidak sempat betemunya. Meskipun reda dengan
pemergian suami tetapi perasaan terkilan dan bersalah tidak dapat dikikis
daripada hati saya kerana tidak melayaninya pada malam terakhir hidupnya di
dunia ini.
Hakikatnya itulah pahala terakhir saya sebagai
seorang isteri. dan yang lebih saya takuti jika suami tidak reda terhadap saya
pada malam itu, maka saya tidak berpeluang lagi untuk meminta maaf daripadanya.
Teringat Sabda Rasulullah s.a.w. yang saya
baca dalam buku agama, 'Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, tiada seorang
suami yang mengajak isteri tidur bersama di tempat tidur, tiba-tiba ditolak
isterinya, maka malaikat yang di langit akan murka kepada isterinya itu hingga
dimaafkan suaminya'.
Sehingga kini, setiap kali saya terkenangkan suami,
air mata akan mengalir ke pipi. saya sentiasa memohon keampunan daripada Allah
supaya diampunkan kesalahan saya."
Sesungguhnya solatku,ibadahku,hidupku,matiku
hanyalah untuk ALLAH
Doakan aku jadi UMAT yang
taat,
bakal ISTERI & UMI yg
diredhai
amin
No comments:
Post a Comment