Sebuah karya Ustaz
Mohd Khalil (Kadi Kluang Johor)
Di copy paste kan
(kerana aku adalah
peminatnya)
EPISOD 38
Jam dah menunjukkan
jam dua lebih. Man minta diri untuk bantu Aboi tutup gerai. Hari tu, malam
minggu, gerai tutup agak lewat sikit.
"Ustaz, nanti
bila-bila senang kita jumpa lagi. Seronok berbual lama dengan ustaz". Kata
Man.
"Okey Man.
Sebelum tu Man, kalau ada lagi orang yang ajak nikah Siam tu telefon, sila
beritahu saya segera". Kata Khalil.
"Okey ustaz"
Kata Man.
Ustaz Khalil terus
balik rumah, Man pula lepas kemas gerai terus balik rumah juga. Man
tidur dengan nyenyaknya malam tu, cuaca sejuk, ada sikit-sikit hujan. Lepas
subuh Man tidur semula. Dalam jam 10 pagi, Man terkejut, seperti ada beberapa
orang memberi salam sambil mengetuk besi pagar dengan mangga. Man terus keluar
dan terkejut, yang datang itu adalah mak, ayah dan adik-adik Man, Syira dan
Nizar, adik-adik lain tak ikut. Man ambil kunci pintu pagar dan buka
pintu. Mereka datang satu kereta toyota SE, adik lain tumpang rumah
makcik kejap.
"Mak, kenapa
datang tak telefon dulu ?" Kata Man.
"Tak apa Man, mak
taknak susahkan Man". Jawab mak Man ringkas.
Man bersalaman dengan
semua. Dalam hati mak Man cukup gembira kerana Man seolah-olah tidak simpan
dendam terutama kepada ayah Man.
"Mak, abah,
jemput masuk. Maaf, tak sempat kemas rumah" Kata Man.
"Tak apa Man,
kami datang ni nak tengok-tengok kau. Sihat ke tidak. Janganlah kerja sampai
jauh malam sangat. Kau ni belum sihat sangat-sangat". Kata mak Man.
"Alhamdulillah
mak, dah beransur sihat. Man tak kerja keras macam dulu. Aboi banyak bantu
kerja Man. Man kalau rasa penat, Man balik rumah, biar Aboi yang uruskan".
Kata Man.
Kehadiran keluarga Man
ke rumahnya menyedihkan Man juga. Man rasa bersalah kerana balik ke JB dari
kampung dulu seolah-olah macam melarikan diri. Lepas tu Man seolah merajuk dan
tak ada telefon keluarga di kampung lagi. Hari ini seolah-olah Man sudah
memaafkan semuanya, Man sudah tidak berasa hati lagi dengan keluarganya.
"Syira dan Nizar,
macam mana belajar ? Dah tinggal sebulan lagi ni nak periksa STPM dan SPM
ni" Kata Man pada adiknya.
"Yer abang Man,
ingat Syira datang JB ni, nak ke Angsana, nak pergi Badan Cemerlang, sana
banyak buku rujukan dan soalan ramalan periksa.". Kata Syira.
"Yer, lepas ni
boleh le kita sama-sama pergi Angsana. Man dah lama sangat tak pergi sana
walaupun dekat. Betul sana banyak buku. Syira dan Nizar pilihlah buku, nanti
semua abang Man bayarkan". Kata Man.
"Terima kasih
Abang Man". Jawab Syira sambil tersenyum memandang adiknya Nizar.
"Syira, Nizar,
beritahulah abang Man, periksa percubaan baru ni dapat berapa. Abang Man kan
belum tahu lagi." Kata mak Man.
"Oh yer, periksa
percubaan baru ni macammana Syira dan Nizar ?" Tanya Man.
Mulanya Man hampir
terkedu juga sebab dia sendiri terlupa yang adiknya baru periksa percubaan.
Baru Man tersedar yang masalah dirinya baru-baru ni sedikit melupakan pelajaran
adiknya. Sebelum ni Man tak begitu, sebelum ni Man selalu bertanya,
sekurang-kurang telefon.
"Man... adik kau
ni Syira pelajar terbaik dalam percubaan STPM dan Nizar terbaik dalam SPM
di sekolah. Sampai mak dan abah kau dijemput ke sekolah minggu depan untuk
majlis penyampaian hadiah.". Kata mak Man.
"Terbaik ?
Alhamdulillah...." Kata Man, tiba-tiba kata-katanya terhenti seketika. Man
sedih, kerana itulah harapan Man pada adik-adiknya selama ini untuk lihat
adik-adiknya berjaya. Man tak mahu adik-adiknya tercicir macam Man, penjual
burger jalanan. Man kenang semula zaman sekolahnya, bukan dia tak pandai,
periksa biasa dapat nombor 3 dalam kelas hampir berturut-turut. Tapi kerana
kesempitan kewangan, Man terpaksa korbankan cita-cita untuk terus belajar. Hari
ini Man rasa bersyukur, dengan harapan periksa STPM dan SPM sebenar nanti,
adik-adiknya akan mencatat keputusan yang cemerlang juga.
Syira turut sedih bila
melihat Man mengalirkan air mata. Secara spontan, Syira berkata.
"Terima kasih
Abang Man. Abang Man dan Kak Yanti sudah banyak membantu memberi semangat
kepada kami. Syira mahu berjaya masuk universiti dan bekerja jadi pegawai macam
kak Yanti. Kak Yanti berjaya merubah Syira dan Nizar dari pelajar yang malas
belajar kepada rajin sehingga berjaya dapat keputusan sebegini.."
Kata Syira.
Semua yang ada di situ
terdiam. Ayah Man menjeling ke arah Syira seolah tak bersetuju dengan kata-kata
Syira itu. Ayah Man macam nak suruh Syira berhenti bercakap, tapi ayah Man
tidak bersuara. Mak Man diam saja. Man pula tunduk, kemudian menutup
muka. Lalu Man menangis teresak-esak. Mak Man mengurut-urut leher dan kepala
Man.
"Man, sabar Man.
Bertenang, jangan sedih Man..." Kata mak Man.
Kemudian ayah Man pula
bersuara, yang dari tadi berdiam diri saja.
"Syira.. pergi ke
sana Syira, cuba jangan ganggu abang Man lagi. Ini urusan orang tua
berbual " Kata ayah Man.
Syira terasa hati
dengan ayahnya. Pada Syira, dia tak salah, kenapa dia persalahkan. Dia sebut
nama Yanti kerana Yanti adalah pemberi peransang dan motivasi kepadanya. Kenapa
Syira tidak boleh menyanjung nama itu ? Kenapa seorang yang baik di hatinya
tidak boleh diberi penghargaan. Itulah yang membuatkan Syira naik angin juga.
"Mak.. Abah.
Maafkan Syira.... kita semua sayangkan abang Man, kita banyak bergantung harap
pada abang Man. Tapi kenapa kita tak mahu menjaga perasaan abang Man..."
Kata Syira dengan nada yang agak tinggi.
Kata-kata Syira itu,
merubah suasana dalam rumah itu dari tenang kepada tegang pula. Man terus
teresak-esak dan menutup mukanya dengan tangan kirinya. Air mata Man terus
mengalir.
"Sudahlah, sudah
Syira, kita datang ni bukan nak berbalah sama-sama adik beradik". Kata mak
Man.
Syira macam tak puas
hati lagi. Darah mudanya sukar dikawal. Syira rasa, hari ni nak jadi apa,
jadilah. Inilah peluang sama-sama duduk semeja. Syira rasa, Syira tak mahu
pendamkan lagi apa yang terbuku dalam hatinya selama ini.
"Mak, abah...
Kenapa kita halang jodoh abang Man dengan Kak Yanti. Kalau kita sayangkan
abang Man, kita sepatutnya merasai perasaan abang Man. Tapi abah dan mak
sanggup mengecewakan abang Man. Kita semua lupa, abang Man banyak berkorban
untuk kita sekeluarga. Setiap malam berjaga sampai larut malam menjual burger
untuk melihat mak, abah dan adik-adik cukup makan dan pakai. ....Kenapa kita
lupa, kenapa ?..." Kata Syira.
Semua sekali terdiam
bila Syira meninggikan suaranya, bercakap sambil menangis. Man terus terdiam,
seolah-olah membiarkan Syira terus berkata-kata.
"Mak, abah....
Kalau abang Man tak sanggup berpisah dengan Kak Yanti, sebenarnya
Syira dan Nizar juga tak sanggup berpisah dengan Kak Yanti. Kalau abang Man
sanggup bertarung nyawa, sehingga hampir dibunuh waktu menjual burger di Johor
Bahru, Syira dan Nizar juga sanggup bertarung nyawa untuk kebahagian abang Man.
Kenapa mak dan ayah tak pernah fikirkan perasaan abang Man, kenapa ?" Kata
Syira yang lebih menegangkan keadaan.
"Syira... bukan
begitu Syira. Kita..." Kata ayah Man, tapi dipotong perkataan itu oleh mak
Man. Mak Man seolah tak mahu ayahnya bersuara. Mungkin mak Man bimbang, ayah
Man nanti tidak boleh mengawal kemarahan.
"Begini
Syira...Siapa kata mak dan abah tak memahami perasaan abang Man. Mak dan ayah
ni lagi banyak fikir. Mak takkanlah taknak tengok anak mak bahagia,
takkanlah macam tu. Cuma mak tak mahu Man dapat halangan, kalau terus nak kawin
dengan Yanti. Kita fikirlah, Yanti tu anak orang berada, bukan macam keluarga
kita orang kampung. Apa yang dah jadi pada Man, sampai Man hampir mati kena
pukul. Nasib baik panjang umur, kalau tak ?...Sebab mak sayangkan Manlah, mak
nasihatkan Man. Mak bukan halang, sapa kata mak halang". Kata mak Man.
Syira sedikit terdiam,
nada agresifnya tadi sudah semakin kendur dengan penjelasan maknya tadi.
Kemudian ayah Man pula bersuara.
"Man, maafkan
abah kalau Man terasa hati dengan abah di kampung dulu. Bukan niat abah nak
halang kau kawan dengan perempuan kaya tu. Abah rasa, lepas ni, abah taknak
campur lagi pasal jodoh Man. Man dah besar panjang, dah masuk 30 tahun, dah
boleh fikir buruk dan baik." Kata ayah Man dengan nada yang lembut.
Tangisan Man sudah
mulai reda walaupun suasana belum kendur lagi. Man bersuara seperti tidak mahu
perbahasan isu ini diperdebatkan lagi.
"Mak, abah,
Syira....Man minta maaf banyak-banyak pada semua. Man, kalau boleh, tak mahu
isu ini dipenjangkan lagi. Izinkan Man bersendirian buat masa ini. Man mahu
menghampirkan diri dengan Allah. Man akui, Man sebelum ini agak terleka dan
kadang-kadang cuai dan tinggal sembahyang. Alhamdulillah, peristiwa lalu cukup
jadi pengajaran pada Man. Syukur Alhamdulillah, Allah memanjangkan umur
Man. Mungkin sebab Allah memberikan masa untuk Man bertaubat dan memperbaiki
diri Man...." Kata Man sehingga semua terdiam.
"Kalau umur Man
tak panjang, ampunkan dosa Man pada mak dan abah. Man tak mahu jadi anak
derhaka pada ibubapa. Syira dan Nizar, teruskan hidup dan jangan melawan cakap
mak abah. Kalau dah berjaya dapat ijazah dan jadi pegawai tinggi nanti, jangan
lupa mak abah di kampung. Dan jangan pandang rendah pada orang miskin
termasuk orang jual burger tepi jalan..." Kata Man lagi.
Man rasa mak ayah dia
dah lewat nak ke Angsana. Man yang mulanya kata nak ikut sama, nampaknya
memberi alasan malas dan hendak sambung tidur. Man hulurkan duit dua ratus
seorang pada Nizar dan Syira untuk beli buku. Mak ayah Man kata, dari Angana
nanti akan terus balik ke kampung sebab adik-adik dia tak ikut.
"Man...maafkan
mak dan abah. Jaga diri kau baik-baik nak. Kalau ada masa tu, baliklah ke
kampung, jenguk mak.. Jaga diri baik-baik Man, kita hidup di tempat orang ni
jangan suka cari gaduh dengan orang. Mak hari-hari risau pada dengan
keselamatan kau Man". Kata mak Man waktu bersalaman dan Man cium
tangan ibu dan bapanya.
.....BERSAMBUNG KE
EPISOD 39
No comments:
Post a Comment