10 Julai 2012 Selasa kuliah maghrib
|
Menjadi lumrah
manusia, maka akan menjadi ingat, berwaspada dan bersiap sedia apabila diberi
ingatan atau amaran selagi tiada ingatan yang masuk ke corong telinga, maka
akan sentiasa alpa dan leka yang akhirnya tanpa benteng iman ampuh
menjerumuskan mereka ke lembah kemurkaan.
Apabila Allah S.W.T memberi ingatan. Tegahan atau amaran, ia mempunyai maksud
disebaliknya. Kita boleh menjadi kafir apabila tidak mempercayainya, munafik
apabila kurang yakin dan fasik apabila menganggap mudah lantaran dituruti
runtunan hawa nafsu.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara
sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua :
masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang
sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan
kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan
al-Baihaqi).
Hadis ini memperlihatkan kepada kita betapa Rasulullah s.a.w begitu sekali
bersungguh-sungguh tidak mahu umatnya kerugian kerana mengabaikan kelima-lima
peluang yang patut mereka bersungguh-sungguh merebutnya sebelum datang lima
perkara yang boleh menyebabkan mereka ditimpa penyesalan.
Sikap mengambil mudah ini menyebabkan begitu banyak orang Islam telah
membiarkan kelima-lima masa atau keadaan itu hilang lesap tanpa dimanfaatkan.
Dan ianya berlalu dengan pantas pula diisi oleh kelima-lima masa atau suasana
yang merupakan lawannya itu.
Manusia mudah leka apabila mereka dikurniakan nikmat seperti kelapangan hidup
sehingga sewaktu mereka bermesra dengan anak-anak dan isteri, seakan-akan
mereka tidak lagi didatangi waktu yang sempit yang membuatkan mereka merasa
begitu menyiksakan.
Masa kaya sebelum miskin dengan mengisi masa kaya ialah dengan menggunakan
harta kekayaan itu dengan sebaik-baiknya yang dapat memberi keuntungan
terutamanya di dalam kehidupan akhirat dengan cara menolong sanak saudara
yang berkesempitan, memperbanyakkan sedekah terutama kepada anak-anak yatim,
orang-orang miskin, pergi ke Mekah menunaikan ibadat haji dan berzakat
apabila telah cukup haul dan nisbahnya.
Begitu juga cara untuk mengisi masa sihat sebelum datangnya masa sakit.
Ketika sihat, seseorang manusia itu seharusnya mengenangi nikmat Allah yang
dikurniakan ke atas dirinya dengan cara membandingkan nikmat sihatnya dengan
kesengsaraan yang ditanggung oleh orang yang sedang terlantar sakit. Ini
pastinya boleh menolong kita atau seseorang itu untuk insaf dan kemudian
berusaha mengisi masa sihatnya dengan cara membanyakkan ibadat kepada Allah
S.W.T.
Cuba kita yang sihat ini bayangkan, bagaimana jika sekiranya tiba-tiba sahaja
kita ditimpa sakit dan terlantar di katil pada saat-saat kita masih
berangan-angan untuk menyimpan ibadat setelah hari tua? Tidakkah kita akan
menyesal kerana ditimpa kerugian yang datang tanpa kita sangka-sangka itu?.
Seterusnya Rasulullah s.a.w menyuruh kita mengisi pula masa lapang sebelum
datangnya masa sempit. Kebanyakkan manusia apabila kedapatan masa lapang,
akal fikiran mereka terus terarah kepada kegiatan-kegiatan atau
aktiviti-aktiviti yang mendatangkan keseronokan semata-mata. Padahal apa yang
sepatutnya ialah mereka perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang
boleh menghalakan hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap
Allah S.W.T. Bukan semata-mata melampiaskan dorongan hawa nafsu buas. Jika
masa santai mereka itu dengan cara membawa keluarga bersiar-siar mengambil
angin, melihat keindahan tumbuhan seperti bunga.
Sudah tentu perkara terakhir yang merebut masa hidup sebelum tibanya masa
mati. Inilah kesudahan yang mana kalau terlepas akan ditindih oleh penyesalan
yang tidak akan habis-habis walaupun mata terpaksa bermandi dengan pancaran
air darah. Jika sudah didatangi kematian, maka berakhirlah segala-galanya.
Malah untuk mengerjakan sembahyang sunat sekadar dua rakaat di dalam kubur
yang mana sangat diinginkan oleh setiap mayat tidak lagi diizinkan oleh Allah
S.W.T. Kenapa? Kerana di sana bukan lagi tempat untuk beramal ibadat.
Masa mati adalah masa untuk menerima balasan. Balasan baik akan merasai
nikmat kemanisannya. Balasan buruk pula akan merasai azab keperitaannya. Ini
kerana masa hidup adalah hidup adalah masa bercucuk tanam, manakala masa mati
adalah masa untuk menuai pula.
Justeru demi memperolehi keselamatan hidup dunia dan akhirat, umat Islam
perlu mengambil peringatan terhadap saranan Rasulullah s.a.w yang amat
penting seperti yang tersebut di dalam hadith tadi. Marilah kita isikan
masa-masa yang lima itu dengan bersungguh-sungguh tenaga kita sebelum
datangnya lima perkara yang penuh dengan duri dan ranjau yang mungkin akan
menghitamkan muka kita setelah kita bangkit di Mahsyar nanti.
Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Asr ayat 1-3 yang bermaksud : "Demi
masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman
dan beramal soleh. Mereka berpusu-pusu dengan kebenaran dan berpusu-pusu
dengan kesabaran."
|
No comments:
Post a Comment