BACALAH KAMU ...........................ALHAMDULILLAH

Sunday, October 23, 2011

USUL YANG DICADANG


Kepada ;
TanSri Pendekar Amin Mulia
Yang DiPertua Dewan Rakyat,
Parlimen Malaysia,
Kuala Lumpur.
YB. Tan Sri,


USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 18(1) BAGI MEMBINCANGKAN PERKARA TERTENTU, BERKEPENTINGAN RAMAI DAN PERLU DISEGERAKAN


Saya Haji Salahuddin Bin Haji Ayub (Kubang Kerian) ingin mencadangkan bahawa mesyuarat hari ini hendaklah ditangguhkan bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan dan membincangkan berkenaan penggantungan ke atas pakar Undang-Undang Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Abdul Aziz Bari disebabkan pandangan akademik beliau yang disiarkan di dalam portal berita Malaysiakini.


Pada 13 Oktober 2011, Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah memberikan pandangannya berkenaan titah Sultan Negeri Selangor terhadap kes serbuan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) ke atas Damansara Utama Methodist Church (DUMC) kepada portalMalaysiakini atas kapasiti selaku pakar Undang-Undang Perlembagaan khususnya berkaitan dengan kuasa dan fungsi Raja Berperlembagaan.


Akibat dari pandangan tersebut, media arus perdana dan pemimpin UMNO dan NGO pro-UMNO telah melancarkan kecaman bertubi-tubi ke atas Abdul Aziz tanpa memberikan beliau peluang mempertahankan dirinya. Kemudiannya beberapa laporan polis telah dibuat oleh ahli dan penyokong UMNO diseluruh Negara.
Kemuncak dari tindakan tersebut, Abdul Aziz bukan sahaja disiasat oleh Polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), tetapi juga telah diberikan surat tunjuk sebab oleh pengurusan UIAM pada 19 Oktober 2011 dan telah digantung perkhidmatannya berkuatkuasa serta merta. Justeru, usul yang dibawa ini adalah perkara yang tertentu.
Dewan yang mulia ini seharusnya memandang serius bagaimana seorang ahli akademik yang kepakarannnya diiktiraf diperingkat nasional dan antarabangsa telah ditekan, dimalukan dan dihukum hanya kerana memberikan pandangan beliau di dalam subjek yang memang menjadi bidang kajian beliau.  Fakta ini jelas menunjukkan hal yang berlaku ini menyentuh kepentingan awam.
Episod ini menampakkan seolah-olah UIAM sebagai sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bertaraf antarabangsa menuruti tekanan politik pihak-pihak berkepentingan tanpa mempedulikan tindakan sebegini boleh mencemarkan reputasi dan prestij UIAM di mata dunia. Pihak kerajaan dan universiti nampaknya tidak mempedulikan langsung jaminan kebebasan akademik terhadap ahli akademik/pensyarah yang terkandung di dalam suatu dokumen bertajuk “Recommendation Concerning the Status of Higher-Education Teachin Personnel” yang dikeluarkan oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).
Natijahnya menampakkan bahawa janji-janji keterbukaan dan transformasi politik yang acapkali dilaungkan oleh YAB. Perdana Menteri adalah hanya sekadar mainan di mulut sahaja tetapi realitinya semakin kuat tekanan dikenakan kepada mereka yang berbeza pendapat dengan parti pemerintah. Jika Abdul Aziz terus digantung tanpa beliau didapati bersalah, ini amat menjejaskan nama UIAM dan Malaysia di mata antarabangsa di samping memberikan kesan kepada ratusan pelajar-pelajar terutamanya pelajar-pelajar Phd di bawah selian Abdul Aziz. Justeru, usul ini perlu disegerakan.
Tuan Yang Di Pertua,


Saya mohon mencadang.
HAJI SALAHUDDIN HAJI AYUB

No comments:

Post a Comment