Ambillah yang jernih. Mari kita belajar daripada contoh-contoh kejayaan dan positif. Anak Kelantan yang menduduk tempat pertama dalam SPM 2006, dengan 17 1A dan 1 2A, kini sedang membuat jurusan perubatan (Medicine) di University of Nottingham, United Kingdom.
Beliau ialah Siti Fatimah Mukhtar.
Siti Fatimah bersama dengan keputusan peperiksaan SPM 2006 beliau. Cukup cemerlang sehingga dinobatkan sebagai pelajar terbaik seluruh negara dengan 17 1A dan 1 2A.
Fatimah (kiri sekali) bersama rakan-rakan kuliah perubatan di University of Nottingham, masih mengekalkan imej bertudung labuh walaupun berada di negara Barat.
Majlis sering dihadiri oleh para pelajar Malaysia, Brunei dan Indonesia yang bacaan mereka disemak oleh Fatimah yang sudah menghafaz lebih kurang 17 juzu' al-Quran.
Masih kekal dengan imej tudung labuh, masih kekal dengan jati diri sebagai seorang rakyat Malaysia dan sebagai seorang Muslim. Inilah watak yang seharusnya menjadi contoh kepada seluruh anak muda dan para pelajar di seluruh negara.
Kisah Di Sebalik Kejayaan Nik Nur Madihah, Pelajar Cemerlang SPM 2008
Ketika keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 diumumkan seorang pelajar, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal membuat kejutan apabila mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2. Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan yang hidup dalam keadaan serba kekurangan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.
Beliau yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006 itu bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.
Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.
Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu menjadi tempat dia berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.
WARTAWAN: Bagaimana timbulnya idea untuk mengambil 20 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM tahun lepas?
NIK NUR MADIHAH: Sebelum ini jika dilihat kebanyakan pelajar cemerlang datang dari keluarga yang senang seperti anak guru, pegawai bank, oleh itu, timbul idea saya mahu buktikan kepada masyarakat bahawa anak nelayan juga mampu mencatatkan kejayaan yang cemerlang seperti orang lain. Jadi, saya mencabar diri sendiri supaya mencatat sejarah dengan 20A.
WARTAWAN: Apakah resipi kejayaan dan bagaimana saudari belajar sehingga mencatatkan keputusan cemerlang ini?
NIK NUR MADIHAH: Keputusan ini adalah di luar jangkaan, saya sasarkan hanya 18A. Paling penting ialah banyak berusaha dan belajar secara strategik, sekiranya timbul masalah cepat bertanya kepada guru dan selebihnya bertawakal. Strategi yang saya maksudkan ialah memberi tumpuan sepenuhnya ketika belajar kerana saya tidak mempunyai jadual belajar yang khusus seperti orang lain. Saya belajar ketika terasa mahu belajar sahaja tetapi ia berterusan.
WARTAWAN: Siapakah di sebalik kejayaan ini dan bagaimana mereka membantu untuk kejayaan ini?
NIK NUR MADIHAH: Ibu bapa dan guru-guru banyak memberi dorongan, tanpa mereka saya mungkin tidak mencapai kejayaan ini. Saya sebenarnya merahsiakan kepada ibu bapa bahawa saya mengambil 20 mata pelajaran dalam SPM sehinggalah keputusan peperiksaan percubaan keluar baru saya beritahu kedudukan sebenar dan mereka memberikan sokongan malah ayah memberi cabaran tambahan. Saya rahsiakan sebab saya mahu membuat kejutan. Jadi keputusan ini adalah sumbangan kecil saya kepada ibu bapa yang banyak berjasa untuk membesarkan saya.
WARTAWAN: Dorongan guru-guru di Sekolah Menengah Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) bagaimana?
NIK NUR MADIHAH: Amat baik, malah guru yang menyelia saya, Mohd. Razali Konok mencadangkan supaya saya berhubung dengan bekas pelajar terbaik SPM 2006, Siti Fatimah Mukhtar, selepas itu saya sentiasa berhubung dengannya untuk mendapatkan nasihat.
WARTAWAN: Sebagai anak nelayan, bagaimana kehidupan saudari?
NIK NUR MADIHAH: Kehidupan kami sekeluarga amat sukar, kadang-kadang tidak ada makanan. Oleh itu, sejak tahun enam saya mengamalkan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis. Secara purata saya akan membawa wang poket tidak sampai RM1 malah kadang-kadang tiada wang untuk makan di sekolah kerana wang yang diberikan oleh ayah hanya cukup untuk tambang bas ke sekolah kira-kira RM4 untuk pergi dan balik. Di sekolah saya hanya makan roti atau bawa bekal nasi goreng. Saya menerima semua ini dengan reda kerana faham ayah tidak mempunyai pendapatan tetap secara purata sekitar RM500 – RM700 sebulan.
WARTAWAN: Bagaimana saudari belajar dengan keadaan rumah yang sempit dan kurang selesa ini?
NIK NUR MADIHAH: Saya belajar di ruang tamu, Alhamdulillah tiada gangguan kerana tiga adik saya sudah besar dan dua daripadanya tinggal di asrama.
WARTAWAN: Adakah saudari merasa rendah diri berbanding rakan-rakan lain yang lebih selesa dan mewah di sekolah?
NIK NUR MADIHAH: Tidak, malah saya menjadikan ia satu cabaran untuk mengubah kehidupan keluarga kami. Kehidupan yang sukar terutama ketika musim tengkujuh atau bot ayah rosak menjadikan saya lebih insaf untuk berusaha bersungguh-sungguh. Pada ketika ayah tidak dapat ke laut, kami hanya makan nasi berlauk telur goreng.
WARTAWAN: Kenapa tidak tinggal di asrama dan adakah saudari mendapat kemudahan biasiswa?
NIK NUR MADIHAH: Kalau tinggal di asrama kos lebih tinggi, lagi pun saya lebih selesa dan tenang belajar di rumah kerana tiada gangguan walaupun rumah tidak sebesar mana. Saya tidak pernah mendapat biasiswa dari mana-mana agensi cuma sumbangan yang diberikan oleh guru-guru melalui Cikgu Razali sebanyak RM200 sebulan.
WARTAWAN: Adakah saudari mendapat tuisyen daripada pusat tuisyen di luar sekolah bagi mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah?
NIK NUR MADIHAH: Tidak, ayah tidak mampu. Saya beruntung kerana sekolah menyediakan guru lain untuk lapan mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah, saya bersama rakan-rakan akan belajar subjek tersebut pada kelas tambahan ketika cuti hujung minggu tetapi bagi mata pelajaran sastera saya belajar sendiri dan tidak pernah mengikuti kelas secara formal. Lapan subjek ini, Pendidikan Agama Islam, Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi, Tasawur Islam, Geografi, Sains dan Sastera saya belajar ketika tingkatan lima.
WARTAWAN: Bagaimana dalam tempoh setahun saudari mempelajari semua subjek-subjek ini?
NIK NUR MADIHAH: Seperti saya jelaskan tadi, banyak berusaha dan bertanya. Idea untuk menambah lagi mata pelajaran hanya timbul ketika tingkatan lima kerana pada tingkatan empat saya terpaksa menumpukan pada 24 mata pelajaran termasuk 12 subjek agama untuk peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU).
WARTAWAN: Adakah saudari menjawab semua soalan mata pelajaran Sains dan Matematik seperti Fizik dan Kimia dalam bahasa Inggeris?
NIK NUR MADIHAH: Ya, sebab lagi mudah dan ditekan oleh guru sejak awal lagi.
WARTAWAN: Apakah hobi dan cita-cita saudari?
NIK NUR MADIHAH: Hobi saya ialah membaca, kalau ada masa lapang saya akan membaca terutama novel tulisan Faisal Tehrani. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang ahli fizik, disebabkan tidak ramai orang Melayu menjadi ahli fizik.
WARTAWAN: Di mana mahu melanjutkan pelajaran?
NIK NUR MADIHAH: Di luar negara tetapi tempat khusus atau universiti mana saya tidak kisah. Saya akan melakukan sembahyang istikharah untuk mendapat petunjuk daripada Allah SWT bagi membuat pilihan terbaik tempat melanjutkan pelajaran.
Fakta Mengenai Nik Nur Madihah
1. Dalam zaman serba canggih ini, Madihah tidak pernah keluar daripada Kelantan tetapi mengetahui tentang semua tempat disebabkan selalu melayari internet.
2. Disebabkan tidak ada duit, dia hanya melayari internet di perpustakaan awam dan membaca buku atau novel kegemarannya di situ.
3. Ibu bapanya mempunyai kesedaran ilmu yang tinggi, walaupun susah dan kadang-kadang terlepas makan kedua ibu bapanya mengumpul duit sedikit demi sedikit untuk membeli komputer bagi mendedahkan anak-anaknya tentang IT.
4. Adiknya yang ketiga merupakan pelajar tajaan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi. Yang kedua belajar di Sekolah Menengah Teknik Bachok dan bekas pelajar MRSM Kota Putra.
5. Biar pun susah bagaimana sekali pun Madihah tidak pernah meminta-minta dan meneruskan perjalanan hidup seperti biasa malah menjadikannya sebagai satu cabaran.
6. Madihah seorang pendiam dan agak pemalu, sepanjang tempoh wawancara dibuat Madihah cuba menyembunyikan kesusahannya sehingga ada beberapa jawapan datang daripada ibu dan gurunya.
7. Madihah kata keputusan percubaan SPM nya teruk, 14 A dan 5 B.
8. Rumah Madihah memang sempit, hanya selesa untuk 4 orang sahaja tetapi satu yang pelik walaupun di luar sangat panas tetapi dalam rumah tidak terasa sangat walaupun bersesak dan beratap zink.
9. Ada sebuah universiti tempatan menawarkan tempat untuk Madihah, bukan untuk peringkat sarjana muda tetapi PhD.
Kisah kejayaan Nur Madihah membuktikan tidak kira siapa anak nelayan, anak penoreh getah, anak petani, anak peguam, anak doktor dan anak menteri semuanya boleh berjaya. Yang penting ialah berusaha dan belajar tanpa mengenal erti jemu untuk berjaya.
Tips-tips Kecemerlangan Daripada Nik Nur Madihah
Beliau menggariskan beberapa tips yang diamalkannya yang banyak membantu beliau menghadapi 20 subjek yang diambilnya. Antara yang sempat disenaraikan oleh beliau adalah seperti berikut:
1. Fokus dan beri sepenuh tumpuan semasa di dalam kelas. Para pelajar diingatkan supaya memberikan tumpuan dan tidak mudah dipesongkan dengan perkara-perkara lain semasa proses pembelajaran di dalam kelas. Sebahagian murid mungkin suka berkhayal, bersembang dan bermain-main di dalam kelas.
2. Hargai masa. Masa lebih berharga dari emas, kerana emas yang hilang masih boleh diganti tetapi yang terbuang tidak akan dapat digantikan lagi dan akan hilang buat selama-lamanya. Sikap suka bertangguh adalah sebenarnya pencuri masa.
3. Suka bertanya. Sikap suka bertanya adalah penting bagi mendapatkan penjelasan bagi mana-mana perkara yang tidak difahami. Beliau mengamalkan sikap suka bertanya terutama dalam matapelajaran mathematik dan sains.
Di antara slogan-slogan yang menjadi pegangan beliau adalah:
1. 99% dari kegagalan adalah dari mereka yang mencari-cari alasan.
2. Belajar dari kesilapan.
3. Usaha yang terbaik dan bertawakkal – Usaha tanpa tawakkal adalah kesombongan. Tawakal tanpa usaha adalah angan-angan kosong.
4. Tiada yang mustahil, Allah swt maha berkuasa.
5. Belajar atau mencari ilmu adalah tuntutan agama – jalan menuntut ilmu adalah jalan menuju syurga.
No comments:
Post a Comment