BACALAH KAMU ...........................ALHAMDULILLAH

Wednesday, February 23, 2011

MATI ATAS SEJADAH

SEDIH...Abdul Hadi (kanan) bertemu ibu bapa Syed Abdul Rahman, semalam.
ANGKAT...peserta PLKN Kem Tondong, Bau mengangkat jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, malam tadi.

Mati imamkan solat

RAWANG: Seorang pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Temasya Rimba Templer, Rawang, di sini, rebah ketika mengimamkan solat Zuhur di surau kem berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.45 tengah hari dan sejurus Syed Abdul Rahman Wan Ahmad, 17, rebah, dia dibantu rakan-rakannya mendapat rawatan di klinik kem berkenaan.
Remaja itu yang berasal dari Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah, diberi bantuan pernafasan (CPR), namun keadaannya yang kritikal menyebabkan pihak kem menghantarnya ke Hospital Selayang sebelum dia disahkan meninggal dunia.

Jenazah Syed Abdul Rahman dihantar ke Hospital Kuala Lumpur pagi semalam untuk dibedah siasat dan polis mengesahkan kematian remaja itu tidak membabitkan unsur jenayah, sebaliknya disebabkan serangan sawan.
Bapa Allahyarham, Wan Ahmad Wan Yasin, 50, ketika dihubungi berkata, dia menerima berita kematian anaknya daripada pengurusan kem berkenaan kira-kira jam 2.45 petang kelmarin dan tiba di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Wan Ahmad, dia berbual dengan anaknya ketika menghubunginya untuk bertanya khabar, Ahad lalu.

“Dalam perbualan itu anak saya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, malah memberitahu gembira tinggal di kem berkenaan. Anak saya juga memberitahu dia sihat dan ramai kawan baru serta selesa berada di kem itu.

“Namun, saya tidak menyangka keceriaannya itu hanya sementara kerana kini dia meninggalkan kami,” katanya.

Wan Ahmad berkata, ketika berbual dengan Syed Abdul Rahman, Ahad lalu, dia berpesan kepada anaknya supaya menjaga diri, jangan lupa solat serta selalu berdoa.

“Setakat ini, saya belum dimaklumkan punca kematian anak saya. Saya cuma diberitahu anak saya menjadi imam solat Zuhur, namun tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata mangsa yang berasal dari Sabah menjalani latihan di kem berkenaan sejak 2 Januari lalu dan akan tamat pada 13 Mac depan.

Menurutnya, mangsa yang pengsan dihantar ke Hospital Selayang, namun gagal diselamatkan sebelum mayatnya dibawa ke HKL untuk bedah siasat.

“Kami mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia kerana sawan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, keluarga mangsa sudah menuntut jenazah Syed Abdul Rahman yang dijadual dikebumikan di kampung neneknya di Kampung Masjid Sebuyau, Kota Samarahan, Sarawak, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata berdasarkan rekod, Allahyarham pernah menerima rawatan sekali akibat batuk di kem itu.

Katanya, setakat ini, pihaknya menunggu laporan penuh bedah siasat pelatih terbabit yang dijangka siap dalam dua minggu.

“Berikutan itu, keluarga pelatih berkenaan layak menerima khairat kematian RM5,000 dan insurans nyawa RM50,000,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan JLKN meminta mana-mana pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu sehingga laporan lengkap mengenai kematian pelatih berkenaan diketahui.

No comments:

Post a Comment