SUDAH jatuh ditimpa tangga, itu yang boleh dikatakan kepada pemilik wang syiling RM75,000 yang mengalami kemalangan di Kilometer 244 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), dekat susur keluar Pedas, baru-baru ini.
Walaupun kejadian berlaku dua minggu lalu, masih belum terlambat untuk dihuraikan mengenai hukum Islam atas insiden berkenaan.
Berdasarkan laporan akhbar tempatan, orang ramai dikatakan berpusu-pusu menghentikan kenderaan mereka, sebahagiannya bukan untuk menolong mengutip dan mengembalikan wang yang bertaburan itu, sebaliknya mengambil dan melarikan semua wang syiling yang dikutip.
Tentunya penghargaan wajar diberi kepada mereka yang datang membantu tetapi bagi yang mengambil kesempatan melarikan wang terbabit, kejadian seperti ini sangat mendukacitakan dan jelas memperlihatkan betapa rakusnya nafsu keinginan kepada wang.
Mereka sama sekali tidak mengendahkan persoalan hukum. Demikian amaran Rasulullah SAW yang bermaksud: “Akan sampai satu zaman di mana manusia tidak lagi menghiraukan daripada sumber mana diperoleh hartanya, sama ada daripada yang halal atau yang haram.” (Riwayat Al-Bukhari) Lebih teruk daripada itu, tiada lagi rasa ‘malu’ dan hiraukan kecederaan tuan punya wang yang berada di tempat sama.
Mereka juga tidak menghiraukan keselamatan diri sehingga dilaporkan ada yang mengutipnya di tengah-tengah lebuh raya, sehingga akhirnya pihak berkuasa terpaksa menutup laluan bagi memastikan tiada kemalangan nyawa akibat kerakusan itu.
Dalam Islam, setiap harta yang dijumpai dan tidak diketahui pemilik, tidak boleh kita nikmati sebelum melalui proses tertentu.
Harta yang ditemui tanpa diketahui pemilik dinamakan ‘Luqatah’ di dalam ilmu Fiqh Islam.
Rasulullah SAW menyatakan bahawasanya: “Barang siapa menjumpai sesuatu harta, wajiblah dia memaklumkannya (bersaksi) dia menjumpainya kepada orang yang adil atau pihak berkuasa, tidak boleh sama sekali dia menyembunyikan dan menghilangkannya.
“Sekiranya dapat dijumpai pemiliknya, wajib dia mengembalikan wang terbabit, jika gagal maka harta tadi dikira milik Allah SWT dan boleh disedekahkan kepada sesiapa yang diingini.” (Riwayat Abu Daud) Imam Al-Khattabi menghuraikan, ia hanya boleh dimanfaatkan oleh yang menjumpainya setelah mencari pemiliknya dalam tempoh satu tahun. (Aunul Ma’bud, 101) Itu perbincangan hukum menjumpai harta dan panjang lagi perbincangannya dalam mazhab Fiqh Islam, cuma dapat kita lihat betapa Islam mengajar umatnya supaya sentiasa peka dan berhati-hati dalam apa juga harta yang diterima.
Malah yang dijumpai pun belum tentu boleh dimanfaatkan, apatah lagi untuk menganggap ia sebagai ‘rezeki terpijak’ atau ‘durian runtuh’.
Jika demikian disiplin Islam dalam hal harta yang dijumpai, tentulah Islam sangat melarang sesiapa juga mengambil kesempatan mencuri, merompak dan melarikan wang yang tercicir akibat kemalangan sedang diketahui tuannya dalam kesakitan.
Sebenarnya keadaan ‘mengambil kesempatan’ di atas sesuatu musibah dan kemalangan bukan hanya merujuk kepada kes di atas, tetapi banyak kali dapat kita baca disiarkan oleh media
Teringat pernah diwartakan satu ketika dulu, bagaimana mangsa yang cedera parah dan yang maut akibat kemalangan dicuri dompet dan barangan berharga mereka di dalam kenderaan.
Semuanya dilakukan oleh sebahagian penyamun dari kalangan orang ramai yang berkerumun yang kononnya ingin membantu, keadaan itu menyukarkan tugas polis untuk mengenal mangsa.
Tidak kurang juga yang merompak ketika demonstrasi dan yang lebih teruk pernah dilaporkan, seorang pegawai sukarela menangkap pelaku khalwat, menerima rasuah dan ada yang merogol mangsa ketika dalam perjalanan menghantarnya ke rumah ibu bapa mangsa. Begitu buruknya sifat dan sikap manusia seperti ini.
Gambaran di atas sebenarnya mampu memberikan sedikit idea berkenaan sikap sebahagian besar masyarakat kita hari ini.
Sikap tidak amanah apabila berdepan peluang mendapat wang dan peluang mudah, dengan segera disambar tanpa menghiraukan kesan luka di dalam hati mangsa.
Disebabkan sifat sebegini, rasuah masih gagal dihentikan, pembabitan dalam skim cepat kaya, skim piramid dan pelbagai skim menipu masih terus berkembang dan mencari mangsa.
Semuanya disebabkan sifat kerakusan, malas mengkaji dan tanpa ilmu yang menyubur, menyebabkan diri tersangkut di dalam jerat pendapatan kononnya cara mudah.
Dosa bagi mereka yang mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain adalah lebih besar berbanding dosa biasa.
Merampas dan meragut sememangnya satu dosa, namun apabila ia dilakukan ketika pemilik harta dalam keadaan cedera kemalangan sama ada di jalan raya atau kemusnahan di dalam rumah, dosa penjenayah terbabit berganda.
Malah, kehinaan ‘golongan’ ini di sisi Allah SWT turut berganda.
Hal itu hampir sama seperti mengenakan caj penalti ketika peminjam tidak mampu melunaskan hutangnya, dan berada di dalam situasi yang benar-benar sukar.
Dalam keadaan itu, pemberi pinjam sewajarnya memberi waktu kelegaan bagi meringan beban peminjam dan bukan menjerut leher mereka dengan menambah hutang dengan caj penalti yang membebankan.
Ia adalah riba dan Ibn Qayyim menegaskan pengharamannya disebabkan kezaliman jelas yang terkandung dalam tindakan itu.
Justeru, saya ingin menasihatkan individu yang mengutip dan melarikan wang tercicir dalam kemalangan di lebuh raya itu supaya segera bertaubat dan memulangkan wang terbabit kepada pemiliknya walau ia bernilai beberapa ringgit.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menakutkan Muslim yang lain, dan apabila seorang daripada kamu mengambil hak milik saudaranya yang lain, wajiblah dia memulangkannya kembali.” (Riwayat At-Tirmidzi dan Abu Daud) Rasulullah SAW juga mengingatkan: “Tidak halal harta yang dimiliki oleh seseorang Muslim (untuk diambil oleh orang lain) kecuali diizinkan olehnya.” (Riwayat Ahmad) Tanpa memulangkan kembali, ia bakal menjadi satu beban di dalam kuburan kelak. Ia jelas wang yang haram digunakan oleh mereka dan perlu disedari dosa tindakan itu berganda-ganda kerana sebab yang dinyatakan di atas.
Sebagai kesimpulannya, kes kemalangan yang berlaku itu hanya sebagai contoh kepada semua jenis insiden kemalangan yang lain.
Paling nyata, masyarakat kita perlu diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain.
Walaupun sekali pandang kes ini kelihatan kecil dan remeh, hakikatnya ia adalah besar kerana mencerminkan sikap masyarakat kita yang ‘gersang’ daripada pengisian rohani dan etika sehingga tergamak mengambil kesempatan di atas kesusahan orang.
Pihak berwajib dan mana-mana pihak yang punyai kuasa sama ada di peringkat keluarga, masyarakat, negeri dan negara tidak boleh memandang ringan insiden ini kerana ia jelas memerlukan satu pelan terbaik untuk merawat pembangunan kerohanian, integriti dan etika masyarakat.
Tidak dinafikan, ia juga mungkin manifestasi betapa terdesaknya masyarakat ketika menghadapi tekanan perbelanjaan harian yang semakin meningkat dewasa ini, sekali gus boleh mengakibatkan seseorang bertindak seperti hilang akal.
Bagaimanapun, lebih membimbangkan ia sebenarnya melambangkan sikap pentingkan diri begitu hampir ke tahap kemuncak kejahatan.
Jika demikian sikap mereka terhadap duit beberapa sen dan ringgit saja, bayangkan jika di depan mereka adalah wang lebih besar.
No comments:
Post a Comment