Oleh Dato Harun Taib
MASYARAKAT Islam ialah masyarakat yang menterjemahkan tuntutan kalimah tauhid secara menyeluruh dalam kehidupan manusia.Setiap cabang dan bidang kehidupan masyarakat Islam dikuasai dan diawasi sepenuhnya oleh asas tauhid yang kukuh. Semua tindakannya terbit daripada pancaran cahaya akidah. Setiap aspek hidupnya dibina di atas perhambaan atau pengabdian kepada Allah SWT semata-mata.
La-ilaha-illallah merupakan akidah yang betul yang mampu mengangkat masyarakat Islam kepada suatu darjat yang paling tinggi dan mulia.
Akidah ini meletakkan masyarakat Islam dan anggota-anggotanya di tempat yang betul. Akidah ini sentiasa membetul dan memperbaiki setiap langkah dan tindakan mereka dalam setiap keadaan, masa dan tempat.
Akidah ini merupakan tenaga penggerak yang sentiasa mengarahkan mereka kepada matlamat hidup yang suci dan jelas. Akidah ini memimpin mereka untuk melalui jalan hidup yang terang dan selamat.
Akidah Tauhid menolak jahiliyah
Konsep La-ilaha-illallah atau hakikat pengesaan Allah sebenarnya menolak segala bentuk jahiliyah sama ada berupa nilai, pemikiran atau pegangan hidup.
La-ilaha-illallah membina satu asas kepada hidup masyarakat Islam dalam setiap bidang dan urusan. Oleh itu, masyarakat yang praktik hidupnya tidak menterjemahkan tuntutan tauhid ini digolongkan sebagai masyarakat jahiliyah.
Jahiliyah adalah satu penyusunan masyarakat yang menolak hukum dan peraturan-peraturan Allah SWT. Jahiliyah melawan dan memusuhi Islam sebagai ad-din. Jahiliyah merupakan musuh yang paling ketat kepada akidah Islam.
Sistem hidup jahiliyah, pada hakikatnya tidak menjadikan Allah sebagai Rabb dan Ilah walaupun mengakui ketuhanan Allah SWT. Sistem hidup jahiliyah hanya mengikut kehendak dan keputusan hawa nafsu manusia serta berhakimkan taghut.
Masyarakat jahiliyah juga adalah masyarakat yang mengamalkan ciri-ciri hidup yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam, yang tidak mengarahkan diri dan perhambaannya kepada Allah SWT semata-mata sama ada dalam iktikad, ibadah atau syariat yang merangkumi setiap aspek peraturan hidup.
Masyarakat jahiliyah ialah masyarakat yang mengakui Islam tetapi praktik ubudiyah (pengabdian) dalam peraturan-peraturan dan perundangan hidupnya tidak kepada Allah SWT semata-mata.
Masyarakat ini walaupun merasakan beriĆtikad kepada Allah SWT tetapi secara tidak disedari amalan dan penguatkuasaan undang-undang, peraturan-peraturan dan nilai-nilai hidupnya bersumberkan selain daripada sumber Allah SWT.
Bentuk masyarakat yang dijelaskan di atas tidak diakui sebagai masyarakat Islam. Islam tidak memandang cogan kata, sepanduk dan laungan sahaja sedangkan hakikat kehidupan masyarakat itu diisi dengan sifat-sifat jahiliyah.
Perlunya mengetahui hakikat jahiliyah
Sesiapa yang ingin menghayati Islam dalam kehidupannya dan memperhambakan diri kepada Allah perlu mengetahui hakikat jahiliyah seperti diterangkan di atas.
Jahiliyah yang meliputi pemikiran, aliran perancangan dan segala cacat cela serta bahayanya agar terselamat dan terpelihara daripada tipu dayanya. Dengan itu dapatlah seseorang itu membuat persediaan dan kelengkapan yang perlu untuk menentang dan menghadapinya.
Meninggalkan jahiliyah
Manusia yang inginkan Islam mestilah meninggalkan diri dan memisahkan jiwa daripada cara hidup jahiliyah. Dia hendaklah memulakan perjalanan hidup baru bersama Islam. Perjalanan hidup yang bebas daripada tekanan nilai jahiliyah samada dalam bentuk konsep adat istiadat, tradisi mahupun pimpinan.
Satu perkara yang penting terutama di peringkat awal dakwah dan pendidikan untuk menghayati Islam ialah manusia perlu membersih dan memutuskan jiwa daripada sebarang campur aduk dan pencemaran antara Islam dengan jahiliyah.
Dakwah Islam sekali-kali tidak menerima sebarang tolak ansur dengan jahiliyah atau mematuhi jahiliyah. Tidak pernah terdapat titik pertemuan di antara Islam dengan jahiliyah.
Yang dikehendaki ialah meninggalkan sepenuhnya suasana, adat, tradisi, pemikiran dan konsep jahiliyah. Juga yang dikehendaki ialah tertegak sepenuhnya pemahaman Islam dan praktik hidup Islam di bawah pimpinan Islam, di mana seluruh ketaatan serta penglibatan tertumpu kepada Islam.
Kewujudan jahiliyah merata
Jahiliyah sekarang dan pada setiap zaman tetap menolak hukum Allah SWT inilah antara pengenalan jahiliyah di setiap tempat, keadaan dan jenis masyarakat.
Jahiliyah berada dalam segenap kemajuan dunia samada dlam pemikiran, politik, social mahupun ekonomi. Apabila manusia enggan menghubungkan diri dengan Allah SWT maka di situ terdapat jahiliyah.
Dewasa ini manusia telah dikongkong oleh jahiliyah yang amat pekat sehingga perkara yang dianggap sebagai aktiviti Islam pun diasaskan atas jahiliyah
No comments:
Post a Comment