BACALAH KAMU ...........................ALHAMDULILLAH

Sunday, June 5, 2011

‘Bir halal’ jadi haram

JOHOR BAHRU: Mengejutkan apabila ujian makmal yang dijalankan terhadap minuman yang popular sebagai `bir halal’ di kalangan pengguna Islam dikesan mengandungi alkohol pada kadar melebihi jumlah dibenarkan syariat.
Penemuan kandungan alkohol sebanyak 0.5 peratus itu terbongkar selepas pengguna yang meragui minuman itu membuat aduan kepada Jabatan Agama Johor (JAJ) dengan membawa sendiri ‘bir halal’ itu untuk dianalisis, seterusnya mendapatkan kepastian.

Menurut sumber, JAJ kemudian menghantar sampel minuman ke Jabatan Kimia untuk pengesahan dan hasil ujian makmal yang dijalankan mendapati bir halal diperbuat daripada pelbagai perisa buah-buahan itu mengandungi 0.5 peratus kandungan alkohol.
“Berikutan penemuan itu, JAJ memaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“JAJ perlu memaklumkan penemuan itu kepada Jakim kerana difahamkan minuman itu menjadi kegemaran ramai dan selama ini dianggap halal. KDRM pula perlu mengambil tindakan lanjut kerana minuman itu diimport dari luar negara,” katanya.

Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin ketika mengulas perkembangan itu berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kandungan alkohol dalam makanan serta minuman yang dibenarkan syariat Islam ialah tidak melebihi 0.01 peratus.
“Makanan atau minuman disahkan halal jika terdapat kandungan alkohol tidak melebihi 0.01 peratus. Ulama bersepakat menetapkan jumlah alkohol dengan kuantiti itu kerana ia boleh terhasil dalam makanan dan minuman secara semula jadi.

“Kuantiti itu amat kecil dalam kebanyakan buah-buahan serta tumbuh-tumbuhan. Ia bukan najis dan boleh dimakan atau diminum umat Islam,” katanya.
Sementara itu, sumber Jakim berkata, kebanyakan pengguna Islam yang gemar minum minuman itu mungkin tidak menyangka kewujudan alkohol dalam minuman itu berikutan ia dikilang dan diimport dari negara Islam di Timur Tengah.

Menurutnya, tambah meyakinkan apabila label pada luar produk berkenaan tertera tulisan minuman itu bebas alkohol dan hadir dalam pelbagai jenis perisa buah-buahan.

“Ia mula popular sejak lebih setahun lalu di kalangan masyarakat apabila minuman botol itu mudah diperoleh di kedai runcit, restoran termasuk kafe pada harga antara RM3 hingga RM5 sebotol.

“Persoalan bagaimana alkohol ini wujud dalam minuman ‘halal’ berkenaan masih dalam siasatan berikutan ia berkemungkinan di kilang di dalam bangunan sama dengan minuman keras,” katanya.

Apabila ustaz pun minum bir...


BERSETUJU betul saya supaya penggunaan istilah ‘bir halal’ dihentikan sebab perkataan tersebut tidak sesuai dan boleh mengelirukan umat Islam.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, ‘bir’ secara umum diketahui umat Islam adalah haram, dan tentu sekali tidak munasabah digunakan kepada minuman yang tidak beralkohol.

Saya pun hairan mengapa ada pihak yang pakai istilah ‘bir’ untuk minuman yang dijual kepada orang Islam. Kalau sudah tahu minuman tersebut tidak beralkohol, kenapa hendak panggil ‘bir’?

Bagi kita ‘bir’ termasuk dalam kategori arak. Seluruh planet bumi tahu – seperti yang ditegaskan dalam al-Quran – bahawa arak adalah haram, dan minum arak adalah salah satu dosa besar.

Tentulah mengaibkan jika dikatakan orang Islam di Malaysia, termasuk para ustaz, minum bir. Orang pun boleh keliru dan bertanya mengapa Jakim halalkan bir?

* MUNGKIN ada pihak yang memang suka dengan istilah ‘bir’. Sama ada disedari atau tidak negara kita telah menghalalkan bir sejak berpuluh tahun lalu, iaitu ‘rut bir’ atau dalam istilah asalnya ‘roots beer’, sejenis minuman tanpa alkohol yang begitu popular. Saya sendiri sebagai Islam tulen telah meneguk ‘bir’ tersebut tiga empat tempayan sejak zaman remaja.

Apa pendapat Jamil Khir dalam hal ini? Saya cadangkan istilah ‘bir’ pada ‘rut bir’ dibuang, dan minuman kegemaran ramai itu disebut hanya ‘rut’.

Sekiranya ‘rut bir’ boleh terus digunakan, nanti ada orang lain yang taasub dengan istilah ‘bir’ ambil kesempatan lalu mencipta minuman tanpa alkohol dan menamakan ‘tebu bir’, ‘tembikai bir’, ‘longan bir’, ‘sirap bir’.

Alangkah aibnya Islam sekiranya setiap gerai, kedai, restoran menjual lebih banyak minuman bir dari minuman jenis lain. Lucu juga sekiranya majlis kenduri tahlil pun dihidangkan ‘bir’ sebagai penghilang dahaga.


* BERCAKAP mengenai istilah yang mengelirukan Islam, sebenarnya bukan setakat ‘bir’. Makanan segera kegemaran ramai ‘hot dog’ pun boleh mengelirukan. Macam mana orang Islam boleh makan ‘anjing panas’?

Opah di kampung Hulu Muar mesti terkejut, malah mungkin pengsan, apabila mendapat tahu cucunya yang baru jadi orang KL sudah pandai makan ‘anjing panas’, dan mula minum ‘bir’.

Satu lagi istilah yang pada hemat saya sengaja digunakan oleh pihak tertentu untuk mengelirukan orang Islam ialah ‘bacon’. Buka mana-mana kamus Inggeris, istilah tersebut bermaksud ‘daging babi’.

Oxford English Dictionary menyebut ‘bacon’ sebagai ‘salted or smoked meat from a pig’, atau ‘daging babi yang dibubuh garam atau disalai’. Sama seperti arak, babi pun ditegaskan dalam al-Quran sebagai haram.

Tetapi sekarang ‘bacon’ telah dihidangkan kepada umum, termasuk kepada orang Islam, secara terbuka baik di restoran, hotel dan tempat-tempat makan eksklusif. Orang Islam pun makan ‘babi’.

Pihak restoran, hotel dan kedai kek menggunakan istilah ‘bacon’, seperti ‘beef bacon’, ‘chicken bacon’. Mungkin tidak lama lagi akan ada pula ‘arnab bacon’, ‘tenggiri bacon’, ‘patin bacon’, ‘belut bacon’.

Mengapa perlu guna istilah ‘bacon’ untuk daging lembu, ayam dan sebagainya? Apakah tidak boleh gunakan ‘daging lembu salai’ atau ‘ayam salai’. ‘Bacon’ memang daging babi, kenapa hendak dikaitkan dengan lembu atau ayam?

Inilah yang orang kata ‘mengada-ngada’, atau ‘pandai tak boleh diikut, bodoh tak boleh diajar’. Molek sekali pihak berkuasa agama Islam, khasnya Jakim, melarang penggunaan istilah ‘bacon’ untuk daging halal yang dijual kepada pengguna Islam.

* AKHIR kalam, tidak sahaja istilah asing, istilah tempatan juga hendak dikelirukan. Contoh, tidak lama dulu ada pihak dengan idea ‘amat bergeliga’ hendak menjual ‘bak kut teh’ untuk pengguna Islam.

‘Satu Malaya’ tahu bahawa istilah ‘Bak kut teh’ bererti ‘sup babi’, iaitu makanan kegemaran orang Cina. Mana boleh orang Islam makan babi? Konon, nama ‘bak kut teh’ hendak dikekalkan, cuma bahannya bukan dari babi tetapi dari daging halal seperti lembu, kambing, ayam dan sebagainya.

Tidakkah pelik, bodoh, lagi mengelirukan pakai nama ‘sup babi’ tetapi guna bahan daging lembu? Ini betul-betul kes ‘gila-gila babi’.

Syabas kepada NGO-NGO Islam juga Jakim yang peka dan menolak idea kartun ini. Kalau tidak nanti media barat yang anti Islam akan menghina kita dengan tajuk berita ‘Islam di Malaysia makan sup babi’.

No comments:

Post a Comment