BACALAH KAMU ...........................ALHAMDULILLAH

Monday, July 23, 2012

Mahkamah putuskan BERSIH entiti yang sah





Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan pengisytiharan Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai tahun lepas bahawa Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) adalah sebuah pertubuhan 'haram'.
Hakim Datuk Rohana Yusof dalam penghakimannya pagi ini berkata BERSIH telah berjaya membuktikan kesnya dalam mencabar pengisytiharan kerajaan bahawa ia sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Oleh itu, katanya, mahkamah membenarkan permohonan BERSIH, dengan tiada perintah tentang kos.

Empat belas jawatankuasa pemandu BERSIH yang diketuai oleh Datuk S Ambiga telah menamakan menteri dalam negeri, ketua polis negara dan kerajaan sebagai responden.

Pada 1 Julai tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengisytiharkan gabungan itu sebagai haram, sejurus sebelum perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai.

Sunday, July 22, 2012

INGAT LIMA PERKARA - Ustaz khairul Nizam @ Ustaz YO di SKJ


10 Julai 2012 Selasa kuliah maghrib 




Menjadi lumrah manusia, maka akan menjadi ingat, berwaspada dan bersiap sedia apabila diberi ingatan atau amaran selagi tiada ingatan yang masuk ke corong telinga, maka akan sentiasa alpa dan leka yang akhirnya tanpa benteng iman ampuh menjerumuskan mereka ke lembah kemurkaan.
        Apabila Allah S.W.T memberi ingatan. Tegahan atau amaran, ia mempunyai maksud disebaliknya. Kita boleh menjadi kafir apabila tidak mempercayainya, munafik apabila kurang yakin dan fasik apabila menganggap mudah lantaran dituruti runtunan hawa nafsu.
        Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
        Hadis ini memperlihatkan kepada kita betapa Rasulullah s.a.w begitu sekali bersungguh-sungguh tidak mahu umatnya kerugian kerana mengabaikan kelima-lima peluang yang patut mereka bersungguh-sungguh merebutnya sebelum datang lima perkara yang boleh menyebabkan mereka ditimpa penyesalan.
        Sikap mengambil mudah ini menyebabkan begitu banyak orang Islam telah membiarkan kelima-lima masa atau keadaan itu hilang lesap tanpa dimanfaatkan. Dan ianya berlalu dengan pantas pula diisi oleh kelima-lima masa atau suasana yang merupakan lawannya itu.
         Manusia mudah leka apabila mereka dikurniakan nikmat seperti kelapangan hidup sehingga sewaktu mereka bermesra dengan anak-anak dan isteri, seakan-akan mereka tidak lagi didatangi waktu yang sempit yang membuatkan mereka merasa begitu menyiksakan.
         Masa kaya sebelum miskin dengan mengisi masa kaya ialah dengan menggunakan harta kekayaan itu dengan sebaik-baiknya yang dapat memberi keuntungan terutamanya di dalam kehidupan akhirat dengan cara menolong sanak saudara yang berkesempitan, memperbanyakkan sedekah terutama kepada anak-anak yatim, orang-orang miskin, pergi ke Mekah menunaikan ibadat haji dan berzakat apabila telah cukup haul dan nisbahnya.
         Begitu juga cara untuk mengisi masa sihat sebelum datangnya masa sakit. Ketika sihat, seseorang manusia itu seharusnya mengenangi nikmat Allah yang dikurniakan ke atas dirinya dengan cara membandingkan nikmat sihatnya dengan kesengsaraan yang ditanggung oleh orang yang sedang terlantar sakit. Ini pastinya boleh menolong kita atau seseorang itu untuk insaf dan kemudian berusaha mengisi masa sihatnya dengan cara membanyakkan ibadat kepada Allah S.W.T.
         Cuba kita yang sihat ini bayangkan, bagaimana jika sekiranya tiba-tiba sahaja kita ditimpa sakit dan terlantar di katil pada saat-saat kita masih berangan-angan untuk menyimpan ibadat setelah hari tua? Tidakkah kita akan menyesal kerana ditimpa kerugian yang datang tanpa kita sangka-sangka itu?.
        Seterusnya Rasulullah s.a.w menyuruh kita mengisi pula masa lapang sebelum datangnya masa sempit. Kebanyakkan manusia apabila kedapatan masa lapang, akal fikiran mereka terus terarah kepada kegiatan-kegiatan atau aktiviti-aktiviti yang mendatangkan keseronokan semata-mata. Padahal apa yang sepatutnya ialah mereka perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang boleh menghalakan hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap Allah S.W.T. Bukan semata-mata melampiaskan dorongan hawa nafsu buas. Jika masa santai mereka itu dengan cara membawa keluarga bersiar-siar mengambil angin, melihat keindahan tumbuhan seperti bunga.
        Sudah tentu perkara terakhir yang merebut masa hidup sebelum tibanya masa mati. Inilah kesudahan yang mana kalau terlepas akan ditindih oleh penyesalan yang tidak akan habis-habis walaupun mata terpaksa bermandi dengan pancaran air darah. Jika sudah didatangi kematian, maka berakhirlah segala-galanya. Malah untuk mengerjakan sembahyang sunat sekadar dua rakaat di dalam kubur yang mana sangat diinginkan oleh setiap mayat tidak lagi diizinkan oleh Allah S.W.T. Kenapa? Kerana di sana bukan lagi tempat untuk beramal ibadat.
        Masa mati adalah masa untuk menerima balasan. Balasan baik akan merasai nikmat kemanisannya. Balasan buruk pula akan merasai azab keperitaannya. Ini kerana masa hidup adalah hidup adalah masa bercucuk tanam, manakala masa mati adalah masa untuk menuai pula.
        Justeru demi memperolehi keselamatan hidup dunia dan akhirat, umat Islam perlu mengambil peringatan terhadap saranan Rasulullah s.a.w yang amat penting seperti yang tersebut di dalam hadith tadi. Marilah kita isikan masa-masa yang lima itu dengan bersungguh-sungguh tenaga kita sebelum datangnya lima perkara yang penuh dengan duri dan ranjau yang mungkin akan menghitamkan muka kita setelah kita bangkit di Mahsyar nanti.
        Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Asr ayat 1-3 yang bermaksud : "Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka berpusu-pusu dengan kebenaran dan berpusu-pusu dengan kesabaran."

Masalah air?

 
Macam tak percaya negeri kuat UMNO ada masalah air. Negeri Timbalan Perdana Menteri pulak tu. 

Sebelum ini cukup bising pom pang pom pang dari golongan UMNO/BN hebohkan masalah air di Selangor dan Kelantan. 

Sekarang betul-betul kena kat batang hidung. Tak nak pulak bising. 

Ulasan dari FB: 

JOHOR hadapi krisis air, wow!!! aku tak percaya, bro.... memang tak percaya!! mana boleh Johor hadapi krisis air, yang hadapi krisis air ialah Selangor, apa pasal Johor pula yang jadi 'mangsa'?? 

Itulah kerja Allah namanya. Buat jahat, aniaya kerajaan negeri yang berkhidmat untuk rakyat, Allah bayar cash.... akhirnya Johor berdepan dengan krisis air. Insaflah.... marilah kita kembali berpolitik secara bersih kerana Allah, bukan berpolitik ala 'yahudi' seperti yang diamalkan oleh UMNO Barisan Nasional. - Apek 

Video bukti Ning Baizura tidak difitnah sertai PAS

Oleh: lipasmalas

"BEBERAPA hari lalu Ning Baizura dikatakan mengamuk di twitter sambil menuduh kononnya PAS memfitnahnya dengan mengatakan beliau telah menyertai parti pembangkang.

Sampai dua kali dia tweet kata dia kena fitnah dengan PAS.

Ning Baizura turut menyiarkan keratan akhbar Sinar Harian yang melaporkan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyebut Ning Baizura bakal menjadi ahli PAS. 
 Kalau dilihat di sini, Ning Baizura pula fitnah PAS, sedangkan Sinar Harian melaporkan, Salahuddin sebagai berkata beliau bakal menjadi ahli PAS.

Bakal dengan sudah masuk lain maksudnya. Bakal ertinya belum berlaku, manakala sudah masuk ertinya sudah berlaku.

Sekarang kita dengar pula apa sebenarnya yang disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Pada 13 Jun yang lalu, kira-kira dua minggu (15 hari) sebelum Ning Baizura mengamuk di twitter Salahuddin Ayub ada menyebut tentang Ning Baizura menyertai PAS namun ayatnya lebih kurang begini:

"Kita doalah mudah-mudahan besok Shahrifah Aini pulak masuk PAS dengan Ning Baizura, mana tahu..."

"Datuk Shahrifah Aini, anak dia belajar dalam satu pusat pengajian tinggi di Kelantan, sekolah di Kelantan. Dia nak belajar di sekolah di Kelantan, kemudian melanjutkan pelajaran di Jordan"

"Kemudian dia balik, mungkin dia beri... bisik kat mak dia... Alhamdulillah paling tidak pun hari ini kita lihat Shahrifah Aini dengan penampilan yang berbeza daripada dulu..."

"Kita doalah barangkali ramai yang bakal bersama dengan PAS".

Sila tonton sendiri video rakaman ucapan beliau di bawah ini.

Saksikan Video ucapan Salahuddin Ayub:

Hanya Islam Tulen Yang Boleh Selamatkan Umno


Ramai tokoh-tokoh UMNO bertanya pendapat saya, apakah caranya untuk memulihkan UMNO. Saya terlebih akui bahawa saya bukan ‘orang politik’ untuk menghuraikan masalah UMNO. Namun, sebagai seorang yang dianggap ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang Islam, saya ingin menyentuh soal Islam dalam UMNO.

Islam itu sebagai ad-din dalam kehidupan masyarakat 
Islam, termasuklah masyarakat melayu yang secara majoritinya mengakui Islam sebagai nadi hidup mereka. Jika UMNO inginkan masyarakat melayu menerima mereka, UMNO mestilah mendokong dan menjaga nadi hidup mereka ini dengan baik.

Justeru itu, jawapan saya mudah sahaja
“UMNO! Kembalilah kepada Islam tulen!” UMNO mesti memainkan peranan sebagai gerakan dakwah kepada Islam yang tulen, moderat dan progresif. Apabila saya kata demikian, bukan bererti saya menafikan keislaman UMNO sebelum ini, atau unsur-unsur Islam yang sedia ada dalam UMNO. Namun apa yang jelas keislaman UMNO itu perlu diperkukuh dan proses perbaikan kelemahan perlu dibuat segera.

Allah sendiri dalam al-Quran pernah menyebut: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, serta kepada kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), juga kepada Kitab yang telah diturunkan sebelum daripada itu. Dan sesiapa yang ingkar kepada Allah, Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” (Surah al-Nisa, ayat 136).

Dalam ayat ini Allah memerintahkan orang yang beriman agar beriman. Bagaimana begitu? Tidakkah itu seakan-akan memerintahkan apa yang sudah terlaksana?! Tidak!

Maksudnya seperti kata al-Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini:
 “Allah ta’ala memerintahkan hamba-hambaNya yang beriman agar masuk secara keseluruhan dalam segala syariat iman, cabang, rukun dan tiangnya. Ini bukan suruhan agar melakukan perkara yang sudah tersedia, sebaliknya ia bermaksud lebih menyempurnakan yang sempurna, menetapkannya, mengukuhkannya dan berterusan atasnya”.

Dalam konteks UMNO, hendaklah mereka menghidupkan Islam dalam gerakannya kerana yang sedia ada itu tidak mencukupi.

Islamisasi Program

Di sini, saya tidak mahu bercakap tentang falsafah-falsafah politik yang besar-besar. Sudah saya sentuh isu-isu yang lebih prinsip dalam banyak tulisan saya yang lepas. Saya juga tidak berbicara untuk tujuan bagaimana UMNO ingin mengekalkan kuasa. Itu kerja orang politik.

Saya bercakap untuk kepentingan setiap individu muslim yang ada dalam UMNO. Saya ingin mengajak orang UMNO berfikir secara ‘kampung’ sahaja. Saya harap orang UMNO jangan kecil hati, saya bermaksud ingin menceritakan ubat bukan untuk menambahkan penyakit.

Saya ingin bertanya, apakah kita dengar seorang ibu atau bapa menyebut: ‘anak saya dulu lemah pegangan Islamnya, atau kefahaman Islamnya, tetapi sekarang menjadi muslim yang baik penghayatan dan kefahamannya kerana aktif dalam UMNO?!. Atau anak saya dahulu kurang kefahaman agamanya tetapi selepas aktif UMNO, dia lebih memahami Islam yang sebenar.

Saya rasa agak sukar ungkapan seperti itu ditemui. Jika adapun mungkin kes terpencil bukan fonomena umum. Saya jumpa ramai orang yang ingin kembali menghayati Islam, kebanyakan mereka tidak akan memilih UMNO. Sama ada mereka memilih organisasi atau gerak kerja Islam yang lain, atau pertubuhan politik yang lebih ‘mensepandukkan’ lambang Islamnya.

Secara jujur, akuilah iklim dan suasana islamik tidak cukup kuat dalam UMNO untuk mereka yang ada semangat Islam rasa selesa boleh menumpang atau mengambil manfaat. Namun saya tidak menafikan UMNO juga ada membuka dan mengusahakan pelbagai ruang untuk Islam dalam kerajaannya. Itu kerajaan, namun di sudut parti jika ada program-program Islamik dalam UMNO ia amat terhad.

Lebih menyedihkan lagi berputar sekitar ‘kenduri tahlil’, barzanji, kenduri arwah dan yang sewaktu dengannya. Di samping program-program itu boleh dipertikaikan sejauh manakah tuntutan Islam mengenainya, ia juga tidak memberikan impak yang dapat merubah peribadi atau meninggalkan kefahaman dan penghayatan seseorang individu muslim.

Seseorang aktif dalam sesuatu pertubuhan atau organisasi atas dua kepentingan, sama ada untuk dirinya atau masyarakat. Atau, boleh juga disebut kerana ikhlas tanpa kepentingan atau ‘ada udang di sebaliknya mee’. Untuk menjadikan seseorang ikhlas, bagi muslim agama adalah faktor penting.

Apabila kita merasakan gerakerja itu ibadah, jika tiada keuntungan pun kita akan buat, harta sanggup berikan, nyawa sanggup kita taruhnya. Inilah kekuatan organisasi Islam. Sekalipun sebahagian yang bernama Islam itu pada hakikatnya tidak Islamik, namun apabila mereka berjaya mencetuskan suasana yang Islamik, ramai yang tertarik. UMNO hendaklah jujur terhadap 
Islam zahir dan batin.

Hidupkan program-program Islam dalam UMNO. UMNO kena galakkan pengajian dan suasana ilmu dalam UMNO. Hidupkan pendekatan Islam yang tulen, matang dan progresif. Sehingga setiap yang masuk akan terasa perubahan diri, sikap, pemikiran dan akhlaknya. Jadikan ibubapa akan rasa seronok jika anaknya aktif UMNO kerana nanti nilai-nilai ketinggian budi, kematangan pemikiran, keutuhan ilmu akan terzahir pada kehidupannya.

Tokoh-tokoh pemikir yang baik, jujur dan progresif hendaklah dijadikan tonggak pengisian UMNO. Jangan paksa atau ajak ulama masuk UMNO, tetapi ambillah pendapat dan cadangan yang baik daripada para ulama yang ikhlas, progresif dan tidak berkepentingan. Jika hal itu dapat digarabkan ke seluruh pelusuk masyarakat melayu, penghayatan Islam akan meningkat, secara tidak langsung mudah-mudahan Allah memberikan kebaikan kepada niat yang jujur ini. Jika pun UMNO tidak menang pilihanraya, UMNO boleh menang pahala mengajak masyarakat menghayati Islam dan persepsi negatif akan dapat dikikis.

Imej UMNO sering dikaitkan dengan kurang islamik. Di sudut kefahaman UMNO dikatakan kurang faham Islam. Walaupun sebahagian pihak yang mendakwa itu, kefahaman mereka belum juga tentu betul dengan Islam tulen yang dibawa oleh Nabi s.a.w.

Sebaliknya sebahagian mereka yang mendakwa itu sekadar memahami Islam berdasarkan rekabentuk atau rupa paras yang dicorakkan oleh organisasi atau parti mereka. Tafsiran mereka berdasar tuntutan semasa politik mereka. Namun apapun, imej Islam itu dikaitkan dengan mereka samada ia benar atau disalahgunakan.

Tidak dengan UMNO, sedangkan ruang menonjolkan Islam yang tulen serta progresif begitu diperlu oleh umat manusia terutama dalam negara kita ini. Bukan semesti pemimpin UMNO kena tukar jadi ulama. Banyak organisasi dakwah atau Islam tidak dipimpin oleh mereka yang bertaraf ulama, tetapi diakui nilai islamik mereka.

Jangan UMNO takut kehilangan undi bukan Islam, itu satu kesilapan. Islam jika ditonjolkan secara adil dan bijaksana ia akan menarik hati semua pihak. Masyarakat ingin melihat nilai akhlak dan budi yang baik. Dalam soal Islam, UMNO mestilah bebas dari unsur kemelayuan, kerana Islam agama sejagat. Jika Islam yang universal itu ditonjolkan, bukan sahaja boleh memikat perasaan mereka, bahkan mungkin menjadi dakwah untuk mengajak mereka kepada Islam.

Mungkin ada yang menganggap mustahil hal ini boleh berlaku dalam UMNO. Walaupun saya secara peribadi bukan ahli UMNO, namun pernah cuba membaiki dan menguatkan pegangan Islam dalam Kerajaan UMNO Perlis ketika saya menjadi Mufti Perlis. Alhamdulillah, saya melihat ada kesannya yang bukan sedikit.

Ramai pemimpin ketika itu yang menjadi peminat pengajian ilmu sehingga program-program wakil rakyat dipenuhi dengan pengisian ilmu. Lantas, perjalanan kerajaan pun ditekankan soal penghayatan Islam. Orang kampong keluar berduyun-duyun tanpa dipaksa apabila saya dan kepimpinan kerajaan pergi ke masjid-masjid atau majlis untuk berucap. Hubungan hati antara kerajaan dan rakyat menguasai suasana.

Maka, kesan tidak langsung ketika itu rakyat tidak membuang UMNO di Perlis, walaupun disingkirkan di Kedah yang bersebelahan dengannya. Namun, bukanlah agenda saya untuk memenangkan UMNO dalam pilihanraya, tapi agenda saya ialah dakwah. Saya inginkan Islam itu subur dalam semua organisasi termasuklah UMNO.

Dakwah ini merentasi sempadan parti dan organisasi. Justeru itulah saya menasihati UMNO. Nabi s.a.w pernah menghantar surat Hercules berbunyi:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, daripada Muhammad Pesuruh Allah kepada Hercules Pembesar Rom, salam sejahtera kepada sesiapa yang mengikut petunjuk. Seterusnya, aku menyeru kamu dengan seruan Islam, terimalah Islam nescaya kamu selamat. Allah akan memberikan kamu dua ganjaran. Jika kamu enggan, kamu menanggung dosa rakyat bawahanmu..(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Menjejaki sunnah itu, maka saya katakan kepada UMNO, lakukan proses islamisasi politik secara bersungguh-sungguh, nescaya kamu selamat!

Oleh: 
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

WARGAKILANG: JJMK Ramadhan 2012

 Sedar tak sedar, sekali lagi pintu Ramadhan menggamit kita.

Alhamdulillah, tahun ini sekali lagi kami di NGO Wargakilang diberi kesempatan, masa dan kelapangan untuk masuk ke kg-kg di pedalaman mencari golongan asnaf yang layak diberi sumbangan.

Misi kami selain mengenal pasti keluarga yang bakal kami kunjungi dalam expedisi JJMK (Jln-Jln Masuk Kg) Ramadhan pada 4 Aug nanti, kami juga membawa misi seorang sahabat yang diamanahkan oleh kilang INTEL untuk mengenal pasti 40 keluarga yg layak menerima bantuan sempena 40 tahun anniversary INTEL Malaysia, juga bakal diadakan pada bulan puasa ini, iaitu pada tarikh 11 Aug 2012. Kami di WARGAKILANG amat berasa bertuah kerana diberi kepercayaan oleh pihak INTEL untuk tujuan ini.

Maka itu, di beberapa weekend yang berkelapangan sebelum Ramadhan 2012 ini, kami telah masuk ke beberapa buah kampung di daerah Kulim/Bandar Bharu, Baling, Sik dan juga Padang Terap di Negeri Kedah Darul Aman.

Saya teringat pada minggu pertama kami mulakan riki/pencarian kami ini; waktu melalui beberapa sekatan Road-Block jalan raya (kami dimaklumkan ada kes pergaduhan & demonstrasi di situ); dan secara kebetulan kami semua memakai T-Shirt Oren bertulis NGO Wargakilang, kenderaan kami telah ditahan buat seketika. Bila Polis itu tanya kami nak pi mana, bila kami habag kata kami nak masuk kg cari orang miskin untuk terima sumbangan ramadhan dari kilang-kilang bla bla bla, Polis itu tanya:

“Ada ka lagi orang-orang Miskin kat kawasan ini?”

Bila kami cerita, mcm-mcm jenis orang miskin yang kami dah jumpa – rumah atap rumbia, dinding buluh, lantai tanah, tak ada letrik, masih pakai pelita ayam, tak ada beras nak makan dll; bro Polis ini kata:

“Hish, ada lagi no orang-orang macam tu? – Bila la isu ini (kemiskinan) nak selesai?”

Kami senyum saja, tak kata apa. Lepas bagi salam, kami terus per-deras kereta masuk ke kampung-kampung. Sepanjang perjalanan itu, kami pakat bersembang sesama kami akan kata-kata bro Polis ini.

Bukan bab basmi kemiskinan yang kami nak hi-lite di sini – itu tugas pihak-pihak berkenaan yang diberi amanah masing-masing. Kami di sini cuma nak buka peluang kpd sahabat-sahabat yang nak kutip pahala berlipat kali ganda di bulan Ramadhan ini, kalau ada masa 4 Aug 2012 ini, mai lah ikut kami pi bagi bantuan kepada lebih daripada 70 buah keluarga yg sudah dikenalpasti.

Kalau nak ikut tak payah bawa sampai 70 kampit beras, bawa 5 kampit pun ok dah. Nanti kawan-kawan lain pakat bawa sorang sikit, nanti kita susun bagi setiap keluarga dapat 1 kampit beras paling kurang. Macam tu juga dengan barangan keperluan harian yang lain, gula tepung sardin minyak dll, bawa mai la sorang sikit, kita pakat kongsi-kongsi.

Antara keluarga yang kami temui adalah seperti dalam gambar-gambar di bawah.

1. Kalau orang kata rumah berdinding buluh mampu melambangkan kemiskinan, ini adalah antara rumah-rumah berdinding buluh yang kami temui: 
 (Rumah berdinding & berlantai buluh dan bakal ber-atap bertam sedang dalam pembinaan, dijangka siap menjelang Raya nanti.)
(Pandangan dari belakang, bahagian dapur sudah pun siap)

2. Kalaulah rumah pusaka / rumah lama yang dah hampir nak gheban (bahasa utara: runtuh) masih dihuni orang boleh dikaitkan dengan kemiskinan, tengoklah sendiri rumah di bawah ini, tunggu masa saja nak gheban.
 
(Antara rumah yg bakal dilawati pada 4hb Aug nanti)

3. Kalaulah jemoran (pelantar) buluh & dapur kayu boleh dikaitkan dengan kedaifan, tengoklah pula gambar dapur kayu dan pelantar buluh ini - Aznee, sahabat saya yang jadi cameraman dengan badan berisi dia itu terketar-ketar nak panjat rumah ini nak ambik gambar; takut pelantar buluh tu runtuh:
 (Tak sangka, masih ada lagi yang menggunakan dapur kayu dan berpelantar buluh)

4. Kalaulah PERIGI/TELAGA sebagai sumber utama air mampu melambangkankesusahan sesebuah keluarga; dalam perjalanan kami kali ini kami telah temui beberapa buah keluarga yang masih mengharapkan perigi/telaga sebagai punca utama sumber air untuk anak-anak mereka.
(Untuk mereka yg berasal dari kampung, telaga dan perigi mampu mengembalikan nostalgia lama)

5. Kalaulah rumah tanpa simen, tanpa tikar, hanya berlantaikan TANAH (sama luar dan dalam rumah) mampu menjadi sebagai perlambangan sebuah kemiskinan tegar di tahap gaban, maka rumah yang kami kunjungi di bawah ini mampu menceritakan segala-galanya:
(Bagi 3 orang anak kecil ini, bermain tanah adalah mainan harian mereka, luar rumah tanah, dalam rumah pun berlantai tanah. Bila malam, tongkat kayu yang hold atap zink itu akan diturunkan, lalu awning atap zink ini berganti menjadi dinding - keluarga ini layak menerima ZAKAT FITRAH!!)

6. Kalaulah bekas Reban Ayam yang di-modify jadi rumah orang mampu dikaitkan dengan kemiskinan, rumah di bawah ini mungkin boleh dijadikan renungan:
 (Rumah bersaiz 20x10 ini ini asalnya reban ayam/tempat proses ayam, setelah dimodify lebih kurang, sekarang dihuni oleh sepasang suami isteri dan 6 orang anak-anaknya, semua perempuan. Yang sulung berumur 11 tahun. Walaupun sempit, tapi susun atur dalam rumah ini begitu kemas sekali - Rumahku Syurgaku)

7. Yang sedihnya, 6 orang anak-anak perempuan tersebut terpaksa hidup dalam kesempitan yang amat sangat bila sampai waktu nak ke tandas - kerana di rumah mereka tidak ada tandas. Di bawah ini adalah kawasan tandas mereka:

(Tidak saya sangka masih ada lagi keluarga yang masih menggunakan tandas pusing (pusing keliling pokok getah nak elak drpd org nampak) seperti sewaktu zaman saya kecik-kecik dulu)

8. Akhir sekali, kalaulah kisah orang tak ada beras nak makan, kemudian terpaksa hutang kawan RM10 pi beli beras 2 kilo (RM1.90 sekilo) dan sedikit lauk pauk nak bagi anak-anak makan, boleh dijadikan iktibar, maka biarlah kisah Pak Chin yang saya tulis tempoh hari - yg hidup dalam kemiskinan apabila matanya jadi kelam - menjadi tazkirah bersama untuk ramadhan kali ini. 

 (Miskin sungguh Pak Chin; rumah sewa ihsan tuan rumah, sudah 10 bulan x bayar, letrik tarik dari dewan orang ramai berdekatan, mandi/basuh guna air telaga, air minum isteri pergi tadah paip di rumah2 jiran. Anak 3 orang, kini tinggal 2 - seorang lagi bagi orang bela. Waktu kami berkunjung waktu malam pergi agihkan beras fidyah yang kwn2 bagi, Pak Chin ada di Surau. Anak2 nya pergi panggil Pak Chin balik. Walaupun miskin dan melarat - tapi Pak Chin tetap tak lupa Tuhan!!)

Walaupun diuji dengan mata sebelah tak nampak, dan sebelah lagi jadi kelam bila matahari naik; maka tak mampu meneruskan tugas seperti biasa sebagai N.G.O (Noreh Getah Orang), maka tak mampu sediakan makan minum anak isteri seperti biasa, tapi Pak Chin tetap redha dengan qada dan qadar yang mengujinya.

Kami di Wargakilang merasakan, sengaja Tuhan ketemukan kami dengan Pak Chin dalam expedisi Jln-Jln Masuk Kampung kami kali ini kerana Tuhan nak kami belajar dari Pak Chin:

"Walau pun susah miskin melarat, tapi TUHAN jangan lupa" 

Kaya ke Miskin ke kita, bila MATI nanti, jadi makanan ULAT juga kita semua. 

Terima kasih Tuhan kerana menemukan kami dengan Pak Chin dan keluarga-keluarga di atas ini, insyaallah mereka-mereka ini mampu menjadi lubuk pahala untuk mereka-mereka yang mengerti maksudnya. 

Sekian, sedikit kisah untuk renungan. 

Nota:
 
(JJMK Wargakilang Utara - 4 Aug 2012,berkumpul di Tol Gurun jam 8 pagi) 
(JJMK Kemaman, Terengganu - 28 Julai 2012, berkumpul di Masjid Geliga jam 7:30 pagi) 
(JJMK Kuala Lumpur - 11 Aug 2012, sila rujuk Facebook Wargakilang untuk update terkini) 

moniermatdin@yahoo.com
http://www.moniermatdin.blogspot.com/
http://www.facebook.com/wargakilang/groups/wargakilang/ 

Saturday, July 21, 2012

NOVEL – SUDAH NASIB MAT BURGER

 

Sebuah karya Ustaz Mohd Khalil (Kadi Kluang Johor)
Di copy paste kan
(kerana aku adalah peminatnya)

EPISOD 38

Jam dah menunjukkan jam dua lebih. Man minta diri untuk bantu Aboi tutup gerai. Hari tu, malam minggu, gerai tutup agak lewat sikit.

"Ustaz, nanti bila-bila senang kita jumpa lagi. Seronok berbual lama dengan ustaz". Kata Man.

"Okey Man. Sebelum tu Man, kalau ada lagi orang yang ajak nikah Siam tu telefon, sila beritahu saya segera". Kata Khalil.

"Okey ustaz" Kata Man.

Ustaz Khalil terus balik rumah, Man pula lepas kemas gerai terus balik rumah juga. Man tidur dengan nyenyaknya malam tu, cuaca sejuk, ada sikit-sikit hujan. Lepas subuh Man tidur semula. Dalam jam 10 pagi, Man terkejut, seperti ada beberapa orang memberi salam sambil mengetuk besi pagar dengan mangga. Man terus keluar dan terkejut, yang datang itu adalah mak, ayah dan adik-adik Man, Syira dan Nizar, adik-adik lain tak ikut. Man ambil kunci pintu pagar dan buka pintu.  Mereka datang satu kereta toyota SE, adik lain tumpang rumah makcik kejap.

"Mak, kenapa datang tak telefon dulu ?" Kata Man.

"Tak apa Man, mak taknak susahkan Man". Jawab mak Man ringkas.

Man bersalaman dengan semua. Dalam hati mak Man cukup gembira kerana Man seolah-olah tidak simpan dendam terutama kepada ayah Man.

"Mak, abah, jemput masuk. Maaf, tak sempat kemas rumah" Kata Man.

"Tak apa Man, kami datang ni nak tengok-tengok kau. Sihat ke tidak. Janganlah kerja sampai jauh malam sangat. Kau ni belum sihat sangat-sangat". Kata mak Man.

"Alhamdulillah mak, dah beransur sihat. Man tak kerja keras macam dulu. Aboi banyak bantu kerja Man. Man kalau rasa penat, Man balik rumah, biar Aboi yang uruskan". Kata Man.

Kehadiran keluarga Man ke rumahnya menyedihkan Man juga. Man rasa bersalah kerana balik ke JB dari kampung dulu seolah-olah macam melarikan diri. Lepas tu Man seolah merajuk dan tak ada telefon keluarga di kampung lagi. Hari ini seolah-olah Man sudah memaafkan semuanya, Man sudah tidak berasa hati lagi dengan keluarganya.

"Syira dan Nizar, macam mana belajar ? Dah tinggal sebulan lagi ni nak periksa STPM dan SPM ni" Kata Man pada adiknya.

"Yer abang Man, ingat Syira datang JB ni, nak ke Angsana, nak pergi Badan Cemerlang, sana banyak buku rujukan dan soalan ramalan periksa.". Kata Syira.

"Yer, lepas ni boleh le kita sama-sama pergi Angsana. Man dah lama sangat tak pergi sana walaupun dekat. Betul sana banyak buku. Syira dan Nizar pilihlah buku, nanti semua abang Man bayarkan". Kata Man.

"Terima kasih Abang Man". Jawab Syira sambil tersenyum memandang adiknya Nizar.

"Syira, Nizar, beritahulah abang Man, periksa percubaan baru ni dapat berapa. Abang Man kan belum tahu lagi." Kata mak Man.

"Oh yer, periksa percubaan baru ni macammana Syira dan Nizar ?" Tanya Man.

Mulanya Man hampir terkedu juga sebab dia sendiri terlupa yang adiknya baru periksa percubaan. Baru Man tersedar yang masalah dirinya baru-baru ni sedikit melupakan pelajaran adiknya. Sebelum ni Man tak begitu, sebelum ni Man selalu bertanya, sekurang-kurang telefon.

"Man... adik kau ni Syira pelajar terbaik dalam percubaan STPM dan Nizar terbaik dalam SPM di sekolah. Sampai mak dan abah kau dijemput ke sekolah minggu depan untuk majlis penyampaian hadiah.". Kata mak Man.

"Terbaik ? Alhamdulillah...." Kata Man, tiba-tiba kata-katanya terhenti seketika. Man sedih, kerana itulah harapan Man pada adik-adiknya selama ini untuk lihat adik-adiknya berjaya. Man tak mahu adik-adiknya tercicir macam Man, penjual burger jalanan. Man kenang semula zaman sekolahnya, bukan dia tak pandai, periksa biasa dapat nombor 3 dalam kelas hampir berturut-turut. Tapi kerana kesempitan kewangan, Man terpaksa korbankan cita-cita untuk terus belajar. Hari ini Man rasa bersyukur, dengan harapan periksa STPM dan SPM sebenar nanti, adik-adiknya akan mencatat keputusan yang cemerlang juga.

Syira turut sedih bila melihat Man mengalirkan air mata. Secara spontan, Syira berkata.

"Terima kasih Abang Man. Abang Man dan Kak Yanti sudah banyak membantu memberi semangat kepada kami. Syira mahu berjaya masuk universiti dan bekerja jadi pegawai macam kak Yanti. Kak Yanti berjaya merubah Syira dan Nizar dari pelajar yang malas belajar kepada rajin sehingga berjaya dapat keputusan sebegini.." Kata Syira.

Semua yang ada di situ terdiam. Ayah Man menjeling ke arah Syira seolah tak bersetuju dengan kata-kata Syira itu. Ayah Man macam nak suruh Syira berhenti bercakap, tapi ayah Man tidak bersuara.  Mak Man diam saja. Man pula tunduk, kemudian menutup muka. Lalu Man menangis teresak-esak. Mak Man mengurut-urut leher dan kepala Man.

"Man, sabar Man. Bertenang, jangan sedih Man..." Kata mak Man.

Kemudian ayah Man pula bersuara, yang dari tadi berdiam diri saja.

"Syira.. pergi ke sana Syira, cuba jangan ganggu abang Man lagi. Ini urusan orang tua berbual " Kata ayah Man.

Syira terasa hati dengan ayahnya. Pada Syira, dia tak salah, kenapa dia persalahkan. Dia sebut nama Yanti kerana Yanti adalah pemberi peransang dan motivasi kepadanya. Kenapa Syira tidak boleh menyanjung nama itu ?  Kenapa seorang yang baik di hatinya tidak boleh diberi penghargaan. Itulah yang membuatkan Syira naik angin juga.

"Mak.. Abah. Maafkan Syira.... kita semua sayangkan abang Man, kita banyak bergantung harap pada abang Man. Tapi kenapa kita tak mahu menjaga perasaan abang Man..." Kata Syira dengan nada yang agak tinggi.

Kata-kata Syira itu, merubah suasana dalam rumah itu dari tenang kepada tegang pula. Man terus teresak-esak dan menutup mukanya dengan tangan kirinya. Air mata Man terus mengalir.

"Sudahlah, sudah Syira, kita datang ni bukan nak berbalah sama-sama adik beradik". Kata mak Man.

Syira macam tak puas hati lagi. Darah mudanya sukar dikawal. Syira rasa, hari ni nak jadi apa, jadilah. Inilah peluang sama-sama duduk semeja. Syira rasa, Syira tak mahu pendamkan lagi apa yang terbuku dalam hatinya selama ini.

"Mak, abah... Kenapa kita halang jodoh abang Man dengan Kak Yanti. Kalau kita sayangkan abang Man, kita sepatutnya merasai perasaan abang Man. Tapi abah dan mak sanggup mengecewakan abang Man. Kita semua lupa, abang Man banyak berkorban untuk kita sekeluarga. Setiap malam berjaga sampai larut malam menjual burger untuk melihat mak, abah dan adik-adik cukup makan dan pakai. ....Kenapa kita lupa, kenapa ?..." Kata Syira.

Semua sekali terdiam bila Syira meninggikan suaranya, bercakap sambil menangis. Man terus terdiam, seolah-olah membiarkan Syira terus berkata-kata.

"Mak, abah.... Kalau abang Man tak sanggup berpisah dengan Kak Yanti, sebenarnya Syira dan Nizar juga tak sanggup berpisah dengan Kak Yanti. Kalau abang Man sanggup bertarung nyawa, sehingga hampir dibunuh waktu menjual burger di Johor Bahru, Syira dan Nizar juga sanggup bertarung nyawa untuk kebahagian abang Man. Kenapa mak dan ayah tak pernah fikirkan perasaan abang Man, kenapa ?" Kata Syira yang lebih menegangkan keadaan.

"Syira... bukan begitu Syira. Kita..." Kata ayah Man, tapi dipotong perkataan itu oleh mak Man. Mak Man seolah tak mahu ayahnya bersuara. Mungkin mak Man bimbang, ayah Man nanti tidak boleh mengawal kemarahan.

"Begini Syira...Siapa kata mak dan abah tak memahami perasaan abang Man. Mak dan ayah ni lagi banyak fikir. Mak takkanlah taknak tengok anak mak  bahagia, takkanlah macam tu. Cuma mak tak mahu Man dapat halangan, kalau terus nak kawin dengan Yanti. Kita fikirlah, Yanti tu anak orang berada, bukan macam keluarga kita orang kampung. Apa yang dah jadi pada Man, sampai Man hampir mati kena pukul. Nasib baik panjang umur, kalau tak ?...Sebab mak sayangkan Manlah, mak nasihatkan Man. Mak bukan halang, sapa kata mak halang". Kata mak Man.

Syira sedikit terdiam, nada agresifnya tadi sudah semakin kendur dengan penjelasan maknya tadi. Kemudian ayah Man pula bersuara.

"Man, maafkan abah kalau Man terasa hati dengan abah di kampung dulu. Bukan niat abah nak halang kau kawan dengan perempuan kaya tu. Abah rasa, lepas ni, abah taknak campur lagi pasal jodoh Man. Man dah besar panjang, dah masuk 30 tahun, dah boleh fikir buruk dan baik." Kata ayah Man dengan nada yang lembut.

Tangisan Man sudah mulai reda walaupun suasana belum kendur lagi. Man bersuara seperti tidak mahu perbahasan isu ini diperdebatkan lagi.

"Mak, abah, Syira....Man minta maaf banyak-banyak pada semua. Man, kalau boleh, tak mahu isu ini dipenjangkan lagi. Izinkan Man bersendirian buat masa ini. Man mahu menghampirkan diri dengan Allah. Man akui, Man sebelum ini agak terleka dan kadang-kadang cuai dan tinggal sembahyang. Alhamdulillah, peristiwa lalu cukup jadi pengajaran pada Man. Syukur  Alhamdulillah, Allah memanjangkan umur Man. Mungkin sebab Allah memberikan masa untuk Man bertaubat dan memperbaiki diri Man...." Kata Man sehingga semua terdiam.

"Kalau umur Man tak panjang, ampunkan dosa Man pada mak dan abah. Man tak mahu jadi anak derhaka pada ibubapa. Syira dan Nizar, teruskan hidup dan jangan melawan cakap mak abah. Kalau dah berjaya dapat ijazah dan jadi pegawai tinggi nanti, jangan lupa mak abah di kampung. Dan jangan pandang rendah pada orang miskin termasuk orang jual burger tepi jalan..." Kata Man lagi.

Man rasa mak ayah dia dah lewat nak ke Angsana. Man yang mulanya kata nak ikut sama, nampaknya memberi alasan malas dan hendak sambung tidur. Man hulurkan duit dua ratus seorang pada Nizar dan Syira untuk beli buku. Mak ayah Man kata, dari Angana nanti akan terus balik ke kampung sebab adik-adik dia tak ikut.

"Man...maafkan mak dan abah. Jaga diri kau baik-baik nak. Kalau ada masa tu, baliklah ke kampung, jenguk mak.. Jaga diri baik-baik Man, kita hidup di tempat orang ni jangan suka cari gaduh dengan orang. Mak hari-hari risau pada dengan keselamatan kau Man". Kata mak Man waktu bersalaman dan Man cium tangan ibu dan bapanya.

.....BERSAMBUNG KE EPISOD 39